RSS Subscription

PETALING JAYA: Pakatan 4 negara Arab diketuai Arab Saudi hari ini menuduh sebuah pertubuhan yang dianggotai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai terlibat dalam kegiatan keganasan.

Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain mendakwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (IUMS) yang diasaskan pada 2004 oleh ulama terkenal berpengkalan di Qatar, Yusuf al-Qaradawi, merupakan antara pertubuhan yang menaja keganasan.

Ia merupakan tambahan kepada senarai negara, pertubuhan dan individu yang dituduh 4 negara sekutu Amerika Syarikat itu sebagai menaja keganasan.

Tambahan itu turut menamakan Majlis Islam Antarabangsa atau Massaa, di samping 11 individu lain.

“Kedua-dua entiti itu adalah organisasi pengganas yang mahu mempromosikan keganasan dengan mengeksploit wacana Islam sebagai alasan menutup bantuan kepada aktiviti pengganas,” kata kenyataan 4 negara itu dipetik Arab News.

Sebelum ini, 4 negara itu turut menamakan Qaradawi sebagai berkait keganasan, lalu mengharamkan penulisannya yang menjadi rujukan popular fekah umat Islam sedunia.

Hadi merupakan naib ketua IUMS, sebuah pertubuhan antarabangsa yang menggabungkan puluhan ribu cendekiawan dan sarjana Islam.

Selasa lalu, Hadi dalam artikelnya membidas kuasa Arab seperti Arab Saudi yang cuba meningkatkan permusuhan mazhab, sambil menyatakan sokongan kepada Qatar, Iran, dan Turki.

“Saya tetap kembali kepada Al-Quran walaupun raja yang menjadi khadam 2 Tanah Haram mengadakan hubungan intim dengan Israel bersama Amerika Syarikat kerana saya tidak beriman kepada Batu Kaabah tetapi beriman kepada Allah,” kata Hadi merujuk Raja Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz.

IUMS antara lain mengambil pendirian mahu mendekatkan perbezaan antara mazhab, termasuk perdamaian antara pengikut aliran Sunni dan Syiah. Manakala agamawan Arab Saudi yang dipengaruhi fahaman Wahabi merupakan antara penentang kuat Iran dan aliran Syiah yang menjadi mazhab dominan di beberapa negara Teluk.

Jun lalu, “senarai keganasan” yang dikemukakan Arab Saudi dan kuncunya menuduh 59 orang dan 12 pertubuhan, tidak lama selepas memutuskan segala bentuk hubungan dagang dan diplomatik dengan Qatar.

Langkah itu menerima sokongan beberapa sekutu Saudi seperti Yaman, Bahrain, UAE, Maldives dan Libya, dan dilihat usaha Riyadh untuk memencilkan gergasi ekonomi minyak itu di samping menguatkan pakatan Arab-Washington untuk berdepan Tehran.

Sumber dari: http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/11/23/saudi-t uduh-badan-ulama-dianggotai-hadi-pengganas/

Comments are closed.