RSS Subscription

Beliau percaya orang Melayu akan dapat mencapai kemajuan dalam sebuah negara yang ditadbir seperti Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Bekas diplomat Datuk Yeop Adlan Che Rose, 74, dilaporkan menyertai DAP kerana menyakini pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang, selepas bersama PAS sebagai calon kerusi Parlimen Hulu Langat pada 2004 dan ahli jawatankuasa Lajnah Antarabangsa parti Islam itu.

Kemasukannya ke DAP diuar-uarkan sejak 2 November lalu melalui saluran media sosial DAP. Bekas diplomat itu terdorong menyertai DAP selepas meyakini kerajaan Pulau Pinang yang diterajui parti itu bukan anti-Melayu dan menyumbang kepada pembangunan Islam.

“Jabatan Islam dia bagi RM14 juta setahun,” kata Yeop dalam wawancara Roketkini.com hari ini, ketika ditanya apa yang menarik minatnya menyertai parti yang dilabel anti-Melayu dan Islam.

Beliau percaya orang Melayu akan dapat mencapai kemajuan dalam sebuah negara yang ditadbir seperti Pulau Pinang.

Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, Yeop Adlan berkata kadar hutang Pulau Pinang yang turun daripada RM680 juta kepada RM66 juta menunjukkan kecekapan kerajaan yang diterajui DAP menguruskan ekonomi.

“Tutup bocor, tak ada tiris, tender terbuka. Dia belanja tapi dengan baik,” kata Yeop Adlan, yang turut kagum dengan kebersihan persekitaran di Pulau Pinang sekarang berbanding di bawah Barisan Nasional.

“Lima puluh tahun dipegang oleh BN, apa dia buat? Tak ada perancangan, kelam kabut, sesak…terutamanya tempat makan dengan tikusnya, kotor, masyhur dengan bau sampah.”

“Ambil 2 penggal sahaja, tengok, sudah bersih.”

Keluarga Yeop Adlan tidak asing dengan DAP. Bapanya pernah menjadi calon mewakili DAP di kerusi Alor Pongsu pada pilihan raya 1974.

Yeop Adlan dalam wawancara Hello Roket akui beliau menyertai PAS kerana memikirkan kedudukan orang Melayu, kerana tidak berpuas hati dengan cerita mengenai korupsi dalam kerajaan dan ketidakpedulian parti politik terhadap nasib orang Melayu.

“Jadi kita memikirkan mungkin mencari jalan melalui perjuangan PAS, tapi sepertimana yang kita tahu, lama-kelamaan PAS tidak boleh buat juga,” kata Yeop.

Yeop Adlan pernah “dipinjamkan” PAS kepada PKR dan dipilih menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin parti reformasi itu sebelum kembali ke sisi PAS selepas April 2009.

Comments are closed.