RSS Subscription

TARIKH : 02-11-2017
Soalan :
Y.B. Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah hutang negara dalaman dan luaran. Senaraikan 10 pemiutang terbesar bagi Kerajaan dan pinjaman yang diberi oleh setiap pemiutang.

JAWAPAN : Y.A.B. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK, MENTERI KEWANGAN

Tuan Yang Di- Pertua,

1. Kedudukan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Daripada jumlah berkenaan, 96.7% atau RM662.4 bilion adalah hutang domestik (49.2% daripada KDNK), sementara 3.3% lagi atau RM22.7 bilion (1.7% daripada KDNK) merupakan pinjaman luar pesisir. Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

2. Dari segi pemiutang atau pegangan hutang kepada Kerajaan Persekutuan, RM496.2 bilion atau 72.4% bon dan sukuk Kerajaan dipegang oleh pelabur domestik. Pelabur terdiri daripada institusi yang kukuh dan berjangka panjang seperti Bank Negara Malaysia dan institutsi perbankan (29.7%) , Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (27.2%), syarikat insurans (4.5%), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (3.5%) dan institusi kewangan pembangunan (3.0%), institusi kewangan bukan bank (0.1%) dan lain-lain (4.4%). Baki RM188.8 bilion atau 27.6% dipegang oleh bukan pemastautin seperti pengurus dana/ aset (10.0%) bank pusat, supranasional dan kerajaan (8.5%), dana persaraan (4.8%), institusi perbankan (2.3%), syarikat insurans (0.8%), institusi dua hala dan pelbagai hala dan lain-lain (1.2%).

3. Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55% daripada KDNK. Bagi memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat. Kedudukan ini seterusnya akan mengurangkan keperluan Kerajaan untuk meminjam dan dapat menurunkan paras hutang. Kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fisikal serta pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fisikal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis.

Comments are closed.