RSS Subscription

Penceramah kontroversi itu dituduh mengetuai persatuan haram dan sengaja menghina ajaran agama lain.

PETALING JAYA: Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) sudah membuat pendakwaan terhadap penceramah kontroversi Zakir Naik dengan dakwaan mengetuai “persatuan menyalahi undang-undang” dan menghasut orang muda bertindak ganas dan menyertai kumpulan global seperti IS.

The Times of India (TOI) melaporkan NIA berkata Zakir “sengaja menghina” kepercayaan Hindu, Kristian, dan aliran Islam seperti Syiah, Sufi dan Barelvi.

NIA juga berkata ucapan Zakir mempengaruhi rekrut kepada perjuangan IS.

Badan bukan kerajaan milik Zakir, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) dan sebuah firma, Harmony Media Pvt Ltd, juga didakwa dalam kertas pertuduhan yang dilihat oleh TOI itu, kata laporan itu.

IRF yang dilarang oleh kerajaan India pada 2016, dikatakan berkomplot dengan Zakir untuk mempromosi permusuhan dan kebencian antara kumpulan agama yang berbeza, dan menghina agama berbeza dan aliran Islam yang bercanggah dengan aliran Wahabi.

Menurut kertas pertuduhan itu, Zakir menyampaikan 1,500 ceramah terbuka dan ucapan di India dan negara luar sejak 1994.

Ucapan beliau yang dituduh menghina ajaran lain adalah dalam bentuk CD, DVD dan rancangan televisyen di mana IRF dan Hamorny Media “berperanan penting” dalam penyebarannya, kata NIA seperti dipetik.

Zakir dikehendaki untuk disoal di India atas jenayah berkaitan keganasan dan pelaburan wang haram. Beliau melarikan diri dari India pada 2016 selepas seorang suspek serangan ganas di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh mengatakan yang beliau dipengaruhi oleh ucapan Zakir, lalu Bangladesh mengharamkan saluran Peace TV miliknya.

Pada Mei, NIA menulis kepada Interpol, meminta notis merah dikeluarkan terhadap Zakir. Ini bermakna beliau akan diumumkan sebagai banduan pelarian antarabangsa, dan polis di mana-mana negara diberi kuasa untuk menangkapnya.

Bagaimanapun, Zakir mencabar permintaan itu, memberitahu Interpol dalam satu surat yang agensi India itu tidak adil kerana menyasarkannya kerana beliau seorang Islam.

Beliau juga dilaporkan mendakwa ucapannya hanya mempromosi keamanan dan beliau tidak pernah menyokong keganasan atau jihad.

Zakir berkata beliau menyampaikan ucapan menyentuh Islam sejak 25 tahun lalu merentasi beberapa negara, di mana beliau dihormati dan dialu-alukan.

Bagaimanapun, NIA berkata dalam kertas pertuduhannya berkata Zakir “tidak dikira sebagai sarjana Islam”, dan menambah “ilmunya tentang Islam sangat lemah”.

Zakir menjadi subjek kontroversi di Malaysia awal tahun ini apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penceramah itu mempunyai status pemastautin tetap.

Ini diikuti laporan oleh Hindustan Times akhir November lepas yang mengatakan Zakir diberikan kewarganegaraan.

Kertas pertuduhan terhadap Zakir juga memetik seorang saksi bernama Noor Mohammad yang memberitahu agensi itu bahawa beliau dipengaruhi ucapan penceramah itu pada “sidang-sidang keamanan” anjuran IRF pada 2007 dan 2008.

Noor Mohammad pada awalnya membatalkan rancangan untuk menyertai IS di Syria tetapi kemudian didorong oleh seorang tertuduh dalam kes modul Malad-Malwani IS yang memetik Naik sebagai mengatakan pengeboman bunuh diri dibenarkan dalam Islam, kata laporan itu.

“Sejak beliau menganggap A-1 (Zakir) pihak berautoriti atas hal ehwal Islam, beliau bersetuju menyertai IS dan berjihad untuk mereka,” kata kertas pertuduhan itu.

NIA juga memetik satu lagi kes di mana Arshi Asif Qureshi, seorang rakan Zakir dan pekerja IRF, ditangkap pada Julai tahun lepas kerana memaksa 2 individu memeluk Islam dan merekrut mereka menyertai IS.

Kes ketiga yang disebut dalam kertas pertuduhan itu, NIA menamakan Abu Anas, yang juga tersenarai dalam kertas pertuduhan berasingan atas “kes komplot IS” yang disiasat agensi itu pada 2015.

Anas dikatakan menjadi sebahagian komplot oleh kumpulan bersekutu IS untuk merekrut orang Islam dari India bekerja untuk organisasi itu.

Beliau juga dilaporkan menerima biasiswa daripada IRF antara 2013 dan 2015.

Comments are closed.