RSS Subscription

TARIKH : 30 OKTOBER 2017
SOALAN :

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah Zakir Naik, penceramah agama dari India telah ditawarkan status Permastautin Tetap ataupun kewarganegaraan oleh Kerajaan malaysia. Apakah rasional Kerajaan Malaysia memberi layanan isitmewa kepada beliau manakala beliau telah melarikan diri daripada siasatan polis atas dakwaan terrorisme di India.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,
Pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir Naik oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dilakukan secara teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu berdasarkan pemilikan Permit Masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Berhubung dengan isu permohonan kewarganegaraan Malaysia pula, hasil semakan mendapati bahawa tiada rekod permohonan kewarganegaraan yang dikemukakan kepada JPN.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan tidak memberi layanan istimewa kepada Zakir Naik seperti mana yang diuar-uarkan. Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak melanggar undang-undang dan peraturan. Oleh yang demikian, tiada alasan daripada segi peruntukan perundangan untuk menahan atau menangkap beliau. Selain itu, Kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada Kerajaan India berhubung dakwaan terrorisme melibatkan beliau. Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan oleh Zakir Naik di negara ini dan akan mengambil tindakan sekiranya beliau didapati terlibat dengan aktiviti terrorisme.

Comments are closed.