RSS Subscription

Ketua Pemuda PPBM mendakwa beliau diminta menggambarkan PPBM bukan gerakan rakyat tetapi perjuangan peribadi Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mendakwa beliau ditawarkan RM5 juta untuk mengadakan sidang mediia mengumumkan beliau akan meninggalkan negara dan memburukkan partinya.

Beliau mendakwa diminta menyerang Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan menggambarkan partinya bukan gerakan rakyat tetapi mengenai perjuangan peribadi.

Sebelum itu, ahli politik berusia 25 tahun itu mengumumkan beliau akan melepaskan tawaran biasiswa RM400,000 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford. Beliau juga ditawarkan geran khas untuk membina sekolah debat di setiap negeri.

“Mereka mahu tunjukkan PPBM parti yang mengagungkan perjuangan Dr Mahathir untuk anaknya, Mukhriz, dan Muhyiddin. Sebab itu mereka menyasarkan orang seperti saya bagi menggambarkan apa yang dipanggil gerakan rakyat ini gerakan untuk agenda peribadi.

Ketika diminta menunjukkan bukti itu, Syed Saddiq berkata beliau sedang membincangkan perkara itu dengan peguam sebelum membawa kes itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut menamakan individu terbabit dan mendakwa individu itu dari “Putrajaya”.

“Kepada mereka yang mahu mengancam dan merasuah saya, beritahu mereka saya tidak akan tunduk. Saya juga tidak boleh dibeli. Saya ada bukti dalam simpanan saya. Saya akan dedahkan dalang dan menteri mana (yang terlibat),” katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Seri Pacific, bersebelahan ibu pejabat Umno.

Beliau mendakwa sidang media hari ini tidak dirancang pihaknya tetapi oleh “kumpulan itu” yang didakwanya terlibat dalam usaha sistematik untuk melemahkan gerakan anti-rasuah.

Beliau mendakwa kumpulan itu “tangan ghaib” yang memastikan beliau tidak dapat lagi bersyarah di universiti awam dan beliau juga hilang pekerjaan sebagai penyelidik di sebuah badan pemikir di Johor.

Menurut Syed Saddiq, usaha sistematik itu diuruskan oleh mereka di Pejabat Perdana Menteri.

“Jika melemahkan status kewangan tidak berjaya, mereka akan sasarkan keluarga individu itu. Bapa saya, ibu saya juga diancam. Mereka ingat ancaman akan berjaya. Sama sekali tidak.

“Jika ada serangan terhadap keluarga saya, saya akan dedahkan siapa dalangnya, mereka yang menemui saya, termasuk menteri mana. Maruah saya tidak boleh dibeli,” katanya.

Selain sogokan, beliau juga mendakwa beliau dan bekas pedebat lain diganggu supaya meninggalkan politik, dan terdapat jaringan orang korup yang mendekati ahli PPBM lain, yang kini sudah meninggalkan parti itu.

Syed Saddiq di Instagram semalam mendedahkan beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjurkan pengajian di Universiti Oxford, dan beliau sedang pertimbangkan sama ada untuk meninggalkan politik.

Beliau kemudian mengundang media untuk menghadapi sidang media hari ini, untuk mengumumkan keputusannya berkenaan tawaran melanjutkan pengajian dan kedudukannya dalam PPBM.

Comments are closed.