RSS Subscription

Sebagai seorang warganegara yang mendukung hak bersuara dan hak untuk berbeza pendapat, saya secara peribadi tidak menyokong penganjuran Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan diadakan di sebuah kawasan hipster kelas menengah di Kuala Lumpur dengan promosi besar-besaran. Apatah lagi bagi saya seorang Muslim, gandingan istilah ‘pesta’ dan ‘arak’ memberi konotasi yang negatif.

Pun begitu, dalam sebuah negara demokrasi, kita tidak boleh sama sekali menyekat pandangan-pandangan samada pro atau kontra dalam isu ini. Namun ia perlu disantuni dengan penuh berhemah. Isu seperti ini perlu ditangani menerusi ruang diskusi yang rasional, tidak emosi dan menghormati kepercayaan serta kepelbagaian budaya di negara kita.

Lebih utama, ia tidak wajar dijadikan alat untuk menunjukkan ‘siapa lebih juara’, tetapi perlu dilihat dari pelbagai aspek yang memerlukan pendekatan profesional termasuk dari kacamata undang-undang tempatan dan sebagainya.

Saya berpendapat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga perlu mengadakan sesi perbincangan dan penerangan sebelum mengambil sebarang tindakan. Jika kita gagal mengamalkan toleransi, kita akan turut gagal memupuk perpaduan. Lebih malang jika pihak berkuasa tempatan yang dibiayai wang cukai rakyat pelbagai agama dan bangsa dilihat berat sebelah dan gagal menjalankan tugas mengambil kira kepentingan pelbagai pihak secara rasional dan profesional.

Sebarang bentuk tindakan memanipulasi isu ini untuk menjolok sensitiviti di kalangan rakyat bagi mencapai kepentingan tertentu samada oleh individu mahupun mana-mana parti politik adalah tidak wajar sama sekali dan perlu dihentikan segera.

Setelah 60 tahun merdeka, saya amat yakin dengan kerukunan rakyat berbilang latar di negara ini yang boleh hidup harmoni serta saling menghormati. Asalkan tiada yang berniat buruk dan sengaja menyemai kebencian, keharmonian ini pasti dapat dikekalkan tanpa sebarang prejudis.

Sheikh Omar Ali
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP JOHOR

Comments are closed.