RSS Subscription

Adalah amat jelas tanpa syak bahawa arak diharamkan ke atas umat Islam sama seperti pengharaman judi, merenung nasib, penyembahan berhala dengan dalil

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ * إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ)
[Surat Al-Ma’idah 90 – 91]

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Pengharaman dalam ayat 90 diikuti dengan alasan dalam ayat 91 jelas menggambarkan porak-peranda dalam masyarakat dan kelalalaian pada diri sendiri daripada mengingati Allah.

2. Isu Pesta Arak ‘Better Beer Festival’ adalah haram bagi umat Islam menyokongnya apatah lagi menghadiri majlis tersebut mahupun meraikannya. Ia bukan isu politik tetapi adalah penetapan syariat termasuk menjualnya atau apa sahaja yang mempromosikan arak atau خمر. Ia termasuk dalam soal معلوم من الدين بالضرورة (perkara pokok yang tak perlu dibahaskan)

3. Adapun perbahasan para ulamak dalam soal arak ialah hukumnya dari segi hak bukan Islam dalam kerangka ahlil dzimmah termasuk soal minum, menghasilkannya, menjualnya dan ketetapan mengambil seperlapan (thumun) cukai daripada jualan arak. Umar ibnul Khattab memerintahkan jualan arak hanya dilakukan oleh bukan Islam dan melarang irang Islam menjualnya mahupun membelinya. Umar memfatwakan ولوهم بيعها و خذوا انتم من الثمن
“Lantik mereka (ahlul dzimmah) yang menjualnya (sesama mereka) dan kamu ambil daripada mereka seperlapan daripada jizyah mereka” (Ahkam Ahlil Dzimmah , Ibni Qayyim, ms 57)

4. Tiada hak untuk pemerintah menyekat apa yang diizinkan oleh agama bukan Islam dalam kepercayaan, amalan agama mahupun makan minum bukan Islam. Arak dan daging khinzir antara makanan dan minuman yang dibolehkan oleh agama bukan Islam.

5. Yang perlu disekat dan dihalang hak tersebut menurut Imam Malik ialah apabila dilakukan secara terang-terangan dalam persekitaran kaum muslimin yang merosakkan (ضرار) maka ketika itu penguasa hendaklah menyekatnya atas alasan ia menjejaskan hak orang Islam yang menetapkan pengharaman arak.

6. Semua perbuatan bagi umat Islam yang diharamkan dan dianggap mungkar tidak boleh dilakukan secara terangan bermaksud mencabar walaupun ia dizinkan oleh agama bukan Islam. Dalam Ahkam Ahlil Dzimmah ms 494 menyebut:

“ذلك يتضمن إخفاء الخمر والخنزير فيما بينهم و ألا يظهروا بهما بين المسلمين كما لا يظهرون بسائر المنكرات”
Demikian juga termasuk menghadkan arak dan daging khinzir (dengan apa sahaja tujuan) hanya sesama mereka dan jangan menunjuk-nunjuk arak dan khinzir kepada kaum muslimin sama hukumnya (yakni dilakukan secara terangan) seperti kemungkaran yag lain.

7. Asas memahami sikap kita dalam Better Beer Festival hendaklah berpandukan kepada kayu pengukur syariat Islam dan bukan sentimen atau kejahilan yang merosakan hak kewarganegaraan seseorang rakyat Malaysia. Oleh itu hendaklah dijelaskan bahawa;

– Arak jika bagi bukan Islam dibolehkan ikut agamanya, tiada siapa yang berhak menyekatnya dari sudut hak sebagai warganegara dalam kebebasan beragama (Artikel 3 dan11, PP).
– Sebab sekatan dari pihak berkuasa mestilah berasaskan, a) jika dilakukan secara terbuka (menceroboh hak awam yang tidak setuju) mengikut garispanduan pihak berkuasa tempatan, b) unsur mencabar sensitiviti orang lain yang boleh menimbulkan kemarahan awam, c) Bercanggah dengan budaya yang boleh menjejaskan kerukunan institusi keluarga, masyarakat dan negara jika dilihat ianya menjejaskan awam.

8. Oleh kerana itu pihak penganjur Better Beer Festival perlu memahami bahawa sebarang sekatan bukanlah menghalang hak bukan Islam dari meminum arak tetapi ianya adalah menyekat terjejasnya ketenteraman awam yang lebih besar yang menolak budaya pesta arak.

9. Dalam nada yang sama, jika penganjur dapat memastikan garis panduan tanpa menjejaskan ketenteraman awam dan dilakukan dalam premis tertutup dan tanpa membuat promosi awam dan jemputan tertutup serta mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan, maka bagi bukan Islam itu adalah hak mereka mengikut peraturan yang disediakan dan dipantau oleh pihak penguasa.

Tegasnya Pesta Arak dan apa sahaja yang menjejaskan tujuan sesebuah masyarakat yang terbina atas budaya kebaikan dan nilai kesejahteraan perlu disekat atas firman Allah:

“….dan bekerjasamalah atas kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bekerjasama atas kejahatan dan permusuhan..” ( Al Maidah:sebahagian ayat 2)

Namun hak bukan Islam termasuk konsumsi arak dll perlu dinilai atas asas tidak menjejaskan kerukunan sesebuah masyarakat yang kepentingannya lebih utama dipelihara dan bukan atas asas menafikan hak bukan Islam dan segala kaitannya dengan hak tersebut.

Yb Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
Pengerusi AMANAH Pulau Pinang

Comments are closed.