RSS Subscription

Dato’ Mohammad Razin Bin Abdullah
Ketua Pengarah
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
Kementerian Dalam Negeri
(Bahagaian Pematuhan)
Aras 2, Bangunan Chancery Place
Jalan Diplomatik 2, Presint Diplomatik
62542 Putrajaya

Yang Berbahagia Dato’

Per: Pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP
=========================================

Surat Dato’ bertarikh 17 Julai 2017 dirujuk.

2. Kami ingin melahirkan perasaan kesal atas kelewatan Dato’ dalam membuat keputusan dalam kes ini sebagaimana yang tertera dalam surat Dato’ tersebut. Pemilihan semula CEC DAP telah diadakan menurut arahan ROS pada 29 September 2013, dan laporan berkenaan pemilihan semula tersebut telah dihantar kepada pejabat ROS pada 8 November 2013, tetapi Dato’ mengambil masa hampir empat tahun untuk menolak keputusan pemilihan semula CEC DAP. Keputusan Dato’ yang begitu lama adalah amat tidak munasabah dan tidak adil. Lebih-lebih lagi, keputusan Dato’ dipanjangkan kepada kami pada waktu di mana PRU 14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, jelas akan menyusahkan kami.

3. Kami merujuk kepada perenggan 2(i) dalam surat Dato’. Kami menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa sebahagian perwakilan tidak diberi peluang yang sewajar untuk mengundi dalam pemlihan semula pada 2013. Menurut rekod kami, kesemua 2576 perwakilan yang berhak mengambil bahagian dan mengundi dalam pemilihan semula pada 29 September 2013 telahpun diberikan notis berkenaan pemilihan semula. Jadi apa yang dinyatakan oleh Dato’ dalam perenggan 2(i) adalah tidak benar sama sekali.

4. Kami merujuk kepada perenggan 2(ii) dalam surat Dato’.

(i) Kami ingin menegaskan bahawa mengikut rekod kami pada 15 Disember 2012, hanya terdapat 751 cawangan yang berhak menghantar wakil ke Kongres Kebangsaan DAP bagi tujuan pemilihan jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP.

(ii) Notis telah dihantar kepada 751 cawangan tersebut untuk hadir dalam pemilihan parti pada 15 Disember 2012. Walau bagaimanapun, dan sepertimana diperuntukkan di dalam Perlembagaan parti, notis juga dikeluarkan kepada cawangan-cawangan lain dalam parti untuk hantar ahli biasa untuk menjadi pemerhati yang tidak berhak mengundi untuk menghadiri Kongres DAP.

(iii) Mengikut rekod kami, kami memang tidak mempunyai 865 cawangan yang layak hantar wakil untuk hadir Kongres Kebangsaan DAP pada 15 Disember 2012 seperti apa yang dinyatakan dalam surat Dato’. Memang tidak pernah wujudnya 865 cawangan yang layak untuk pemilihan CEC pada tahun 2012. Kali pertama angka 865 cawangan yang layak ditimbulkan ialah dalam dakwaan palsu “Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC” oleh penulis rekaan “Father Augustus Chen”.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menang kes saman malu terhadap penerbit Utusan Malaysia berkaitan dengan laporan akhbar “Father Augustus Chen” dan diawadkan bayaran gantirugi RM250,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Disember 2014.

Soalannya ialah, kenapakah ROS membuat keputusan berdasarkan satu laporan yang disahkan oleh Mahkamah sebagai rekaan dan palsu?

(iv) Menurut rekod kami, pada 29 September 2013, sebanyak 985 cawangan yang diberikan notis, iaitu termasuk 751 cawangan yang berhak mengundi dan 234 cawangan yang diberikan notis untuk hadir sebagai pemerhati.

(v) Berdasarkan pada fakta di atas, apa yang dinyatakan dalam surat Dato’ dalam perenggan 2 (ii) juga tidak benar sama sekali.

5. Oleh yang sedemikian, kami menafikan sekeras-kerasnya bahawa timbul sebarang keraguan dalam keputusan pemilihan semula CEC seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3 dalam surat Dato’.

6. Walaubagaimanapun, memandangkan keputusan ini diberi kepada kami pada waktu di mana PRU 14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, maka DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi (CEC) parti DI BAWAH PROTES dan tanpa menjejaskan sebarang hak kami untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu, pada bila-bila masa.

7. Seterusnya, merujuk kepada syarat-syarat dalam perenggan 4 dalam surat Dato’, ingin kami nyatakan seperti berikut:

(i) Kami bersedia untuk melaksanakan pemilihan semula CEC parti melalui Kongres Khas yang diperuntukkan dalam Perlembagaan parti DAP. Sila rujuk kepada Lampiran 1.

(ii) Pemilihan semula CEC itu akan berdasarkan senarai perwakilan yang telah disahkan pada 15 Disember 2012. Sila rujuk kepada Lampiran 2.

(iii) DAP bercadang untuk melantik juruaudit bebas PKF Consulting untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula seperti apa yang dinyatakan dalam perenggan 4 dalam surat Dato’.

8. Merujuk perenggan 4(ii) dalam surat Dato’, kami tidak bersetuju dengan pendirian Dato bahawa “sebarang keputusan yang dibuat CEC dan juga parti adalah dikira sebagai tidak sah dan terbatal” sebagaimana dinyatakan di dalam surat Dato’. Pendirian Dato’ telah bertentangan dengan persetujuan yang dicapai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di antara DAP dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 September 2014, iaitu “the ROS recognises that the DAP CEC elected on 29.9.2013 may carry out all its powers, functions and duties in the administration of the daily affairs of the DAP in accordance with the Constitution of the DAP.”

9. Justeru itu, kami menuntut satu mesyuarat diadakan dengan Dato’ dengan secepat mungkin untuk membincangkan perkara-perkara penting di atas di sini.

Sekian, terima kasih.

Teresa Kok Suh Sim
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP (2008 – 2012)

Comments are closed.