RSS Subscription

Hari ini, saya menyertai perbahasan RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat. Ucapan saya adalah seperti berikut:

Tuan Yang Di-Pertua, sebagai permulaan, saya ingin menyampaikan penghargaan saya terhadap pegawai KPDNKK yang selalu memantau harga barang-barangan di kedai dan pasaraya, demi memastikan kepentingan pengguna dan memastikan pengguna tidak ditipu dan tidak bayar lebih.

Walau bagaimanapun, dalam perbahasan RUU ini, saya juga ingin menyampaikan suara hati dan masalah yang dihadapi oleh peniaga sederhana dan kecil di negara kita. Sejak GST dikenakan pada tahun 2015, saya terima banyak aduan daripada ramai peniaga, khususnya peniaga kecil dan sederhana.

Kerajaan pernah berjanji bahawa pemungutan GST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, tetapi kesalnya ini tidak berlaku.

Misalnya, jika kita makan tengahari di restoran, harga satu cawan teh tarik sebelum GST adalah RM1.00, harga selepas GST adalah RM1.06, kalau termasuk nasi campur yang berharga RM10, selepas GST ialah RM10.60. Jadi jumlah bil ialah RM11.66.

Bagi seorang pekerja golongan bawahan yang terima gaji RM1,500 sebulan, sekiranya perbelanjaan makanannya untuk 3 kali sehari ialah RM20, dia akan terpaksa bayar GST untuk makanan RM1.20 sehari dan RM36 sebulan. Jika jumlah perbelanjaan peribadinya ialah RM1,000 sebulan, maka jumlah pendapatan yang hilang setiap bulan adalah RM60.
Bagi peniaga pula, kos operasi perniagaan bertambah kerana terpaksa beli software baru, peralatan baru dan juga beri lebih bayaran kepada bookeeper kerana kerani tersebut perlu simpan rekod yang rumit dan terperinci supaya ia boleh dibentangkan kepada pegawai kerajaan yang datang semak harga jualan bila-bila masa.

Pada waktu kegawatan ekonomi sekarang, bila gaji orang ramai tidak meningkat dan daya perbelanjaan pengguna berkurangan, tambahan pula dengan kos operasi perniagaan yang meningkat, untung bersih bagi banyak syarikat pun akan berkurangan.
Keadaan ini menyebabkan ramai peniaga dan syarikat mengambil pendekatan “tunggu dan lihat ” atau pendekatan yang kurang agresif untuk mengembangkan perniagaan mereka. Sikap peniaga sekarang pun menyebabkan banyak kedai ataupun ruang kompleks beli-belah tidak disewa, dan juga peluang pekerjaan yang berkurangan. Akhirnya, banyak syarikat tidak menaikkan gaji atau membayar bonus kepada pekerja mereka kerana prestasi perniagaan yang kurang memuaskan.

Walaupun kerajaan bangga dengan kutipan cukai daripada GST, tetapi pertambahan kutipan cukai GST adalah hasil daripada penambahan beban kepada rakyat secara umum. Orang muda kita mendapati peluang pekerjaan semakin berkurangan, pegawai kerajaan yang berpendapatan rendah malah terpaksa buat kerja sambilan selepas waktu kerja, seperti menjadi pemandu kereta Uber.

Pelaksanaan GST telah membawa banyak kesusahan kepada pengguna, dan ia juga menyusahkan pengusaha atau peniaga.
Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Anti Pencatutan ini kelihatan menambahkan lagi beban kepada para peniaga golongan sederhana dan kecil.

1. Mengikut pindaan kepada RUU ini, peniaga dikehendaki mempamerkan semua cukai kerajaan pada setiap produk atau servis. Proses pengiraan ini adalah terlalu rumit (troublesome) untuk dipamerkan bagi setiap produk dalam iklan atau di dalam kedai kerana ia dikehendaki mengandungi semua maklumat:
Misalnya, kos satu unit peti sejuk yang diimport berharga USD 100 ataupun RM450, ia dijual pada RM1,000 termasuk GST. Harganya akan dipamerkan seperti berikut:
Harga asal: RM 943.36
GST 6%: RM 56.64
Harga akhir:RM1,000

Mengikut praktis sekarang, butir tersebut akan tercetak di atas resit. Tetapi pengikut pindaan RUU yang dibentangkan ini, peniaga terpaksa mempamerkan semua butiran pada sebut harga atau papan iklan. Jika butir-butir tersebut tidak dipamerkan, maka seseorang peniaga akan dituduh melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda yang tinggi oleh pengawal.

Pengiraan harga akan menjadi lebih rumit jika nilai matawang Malaysia selalu turun-naik dan tidak tentu. Jika seseorang peniaga mempunyai 5 unit peti sejuk yang diimport bulan lepas ialah pada kadar pertukaran 1USD= RM4.30, 5 unit baru diimport oleh peniaga pada bulan ini pada kadar pertukaran 1USD=RM4.60. Praktis biasa peniaga adalah harga purata dikira semula setiap kali pembelian dibuat, dan harga purata untuk 10 unit peti sejuk pun menjadi RM4.45.

Sekiranya unit peti sejuk yang dijual oleh kedai eletrik adalah unit yang dibeli sebelumnya, pengawal pun mendapati bahawa peniaga tersebut telah mengenakan GST berdasarkan dengan harga import yang telah diratakan pada bulan lepas dan bulan ini adalah lebih tinggi, pengawal harga mungkin berpendapat kos import peti sejuk sepatutnya dikira pada nilai RM4.30 dan bukannya kos purata RM4.45. Jadi peniaga pun terpaksa memberi bukti bagi kos import bagi setiap unit peti sejuk dan ini memang menyusahkan peniaga yang menjual barangan import.
Kalau peniaga gagal membentangkan justifikasi yang memuaskan, beliau boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 kerana kuasa mutlak diletakkan pada budibicara Pengawal! Pindaan undang-undang ini memang mendatangkan banyak masalah bagi pihak penjual.

Pindaan RUU ini menghendaki peniaga terpaksa melabur sistem komputer yang lebih sophisticated dan mahal supaya harga import setiap barang yang dijual dalam kedai dapat boleh disimpan secara teliti. Bagi peniaga pula, bila nilai mata wang Ringgit Malaysia jatuh, peniaga tersebut bukan sahaja tidak mendapat untung yang lebih, tetapi syarikat itu terpaksa menanggung kos pelaksanaan perniagaan yang bertambah dan ini mengurangkan lagi untung sesebuah syarikat.

2. Tuan Yang di-Pertua, dalam perbincangan saya dengan peniaga, mereka mendapati RUU ini memberi kuasa yang terlalu besar dan malah mutlak kepada Pengawal. Mereka berkata proses membuat keputusan perniagaan harian selalunya mengikut keadaan semasa dan setiap syarikat mempunyai Praktis Standard Perakaunan yang berlainan. Tetapi mengikut pindaan yang dicadangkan oleh kerajaan ini, Pengawal boleh memutuskan samada seseorang peniaga melakukan kesalahan ataupun salah dari segi pengiraan mengikut budibicara beliau.

Ini adalah tidak adil kerana Pengawal mungkin membuat keputusan yang salah. Oleh itu kerajaan seharusnya memberi tafsiran yang lebih jelas tentang salah-laku seseorang peniaga, dan juga saluran rayuan bagi syarikat yang dituduh melakukan kesalahan tersebut.

Sehubungan dengan itu, RUU ini juga memberi kuasa kepada penolong pengawal untuk masuk ke mana-mana premis perniagaan dengan tujuan menjalankan pemeriksaan. Ini merupakan pencabulan terhadap operasi perniagaan sesebuah syarikat. Pengawal telah diberi kuasa untuk mengeluarkan notis bertulis kepada peniaga untuk memberi semua dokumen dan penjelasan. Kuasa penolong Pengawal untuk “menceroboh” masuk ke dalam premis peniaga hanya akan merunsingkan hubungan di antara peniaga dan pihak penguatkuasa.

Secara rumusan, saya menghargai jiwa RUU ini yang ingin memberi perlindungan kepada pengguna supaya pihak syarikat tidak tipu pengguna dengan menggunakan alasan GST, tetapi dalam suasana ekonomi yang kurang memuaskan ini, saya berharap Kementerian juga boleh mengadakan lebih dialog di antara pihak kementerian dengan pihak peniaga, supaya persefahaman yang menang-menang boleh wujud di antara pihak kerajaan dan juga pegawai di kementerian.

Saya juga berharap isu pegawai KPDNKK yang merampas berus cat diperuat daripada bulu babi secara tiba-tiba ini tidak akan berulang. Perampasan berus cat yang dilakukan oleh KPDNKK tersebut telah mengecohkan banyak pihak. Pendekatan yang lebih baik ialah bagi kementerian untuk memberi amaran ataupun mengeluarkan notis kepada peniaga sebelum rampasan dilakukan, ia boleh dilakukan dengan pendekatan dan sikap yang lebih halus, supaya keharmonian oleh pihak peniaga dan pegawai KPDNKK tidak dijejaskan.

Teresa Kok

Comments are closed.