RSS Subscription

Pagi ini, saya menyertai perarakan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan MP pembangkang yang lain untuk membentangkan memorandum kepada gabenor Bank Negara berkenaan dengan skandal 1MDB.

Kami bertolak dari pintu besar kemasukan Parlimen dan berjalan selama 20 minit untuk ke Bank Negara.

Nasib baik suhu pada pagi ini tidak begitu panas dan perarakan kami juga dijaga baik pegawai polis yang menghentikan kenderaan di sepanjang Jalan Parlimen. Terima kasih kepada anggota Polis ini.

Ini kali pertama MP Malaysia buat perarakan dari Parlimen Malaysia ke Bank Negara. Kami hanya ingin minta Bank Negara menyiasat skandal 1MDB ini dengan seriusnya. Perarakan kami juga menonjol keprihatinan kami terhadap skandal yang memalukan Malaysia ini.

Kenyataan Pakatan Harapan berkenaan perakaran kami adalah seperti berikut:

BNM Perlu Siasat Semula 1MDB Berdasarkan Maklumat Terbaru
=========================================

Hari ini kami Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang telah menyerahkan satu memorandum kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Memorandum tersebut mengandungi maklumat dari dokumen saman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkenaan aliran wang yang dipercayai diseleweng dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui pengubahan wang haram yang menggunapakai institusi perbankan di negara ini, termasuklah:

1) USD 732.3 juta yang didakwa disalurkan ke dalam satu akaun AmBank yang dimiliki YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Sri Najib Razak di antara Februari 2011 ke Jun 2014; dan

2) USD 620 juta yang didakwa dihantar ke luar negara pada 26 Ogos 2013 daripada akaun AmBank yang sama ke akaun syarikat Tanore Finance Corporation di BSI Bank, Singapura.

Maklumat ini telah diketahui umum selepas pengumuman denda kompaun yang dikenakan BNM terhadap 1MDB.

Kami juga meminta BNM untuk menyiasat kesahihan pelaburan ‘unit’ yang pada seketika waktu bernilai USD 2.318 bilion yang sebelum ini disimpan didalam akaun Bank BSI, Singapura sebagai bank pemegang amanah (“custodian bank”). Kami percaya bahawa kegagalan 1MDB untuk menebus pelaburan ‘unit’ tersebut untuk membayar hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), telah menjejaskan integriti sistem kewangan Malaysia.

BNM perlu menyiasat perkara-perkara ini secara proaktif dan telus, dan kami bersedia memberikan sebarang kerjasama berkait isu ini sekiranya perlu, demi rakyat Malaysia dan integriti sistem kewangan negara.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

YB Datuk Dr Mujahid Yusof
Naib Presiden AMANAH

YBhg Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
Naib Presiden PPBM

YB Ignatius Dorell Leiking
Timbalan Presiden WARISAN

YB Dato’ Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS)

3 Ogos 2017

Comments are closed.