RSS Subscription

Dr Mahathir berkata logo baharu akan dikemukakan dalam masa 2 hari.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) bersetuju menukar logo yang dicadangkan baru-baru ini atas permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Pengerusi PH itu berkata keputusan itu diambil berikutan teguran JPPM yang berpendapat logo sedia ada yang dikemukakan PH untuk pendaftaran adalah tidak sesuai.

“(JPPM) buat teguran berkenaan logo. Tak sesuai kerana tak bagi nama penuh (hanya letak nama Harapan).

“Jadi kita akan buat logo lain. Kita akan menyerahkan logo baharu dan harap kita akan hantar logi baharu,” katanya pada sidang media di JPPM ditemani pimpinan PH lain seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu.

Logo rasmi yang dipilih gabungan itu berlatarbelakang warna merah, dengan perkataan “Harapan” dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya.

Isnin lalu, PH selesai mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada JPPM secara atas talian, di mana ia turut mengemukakan barisan kepimpinan, logo dan perlembagaannya.

Gabungan 4 parti dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu merancang bertanding di bawah satu simbol pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir berkata PH akan cuba siapkan logo baharu dalam masa 2 hari.

“Kalau tak lulus logo, susah buat baju dan bendera. JPPM tak bagi tempoh, tapi kita akan percepatkan proses.

“Mungkin 2 hari kita akan siapkan. Kita dah ada idea. JPPM bagi panduan kena ada 2 dua perkataan Pakatan Harapan. Kalau nak tambah lain boleh tetapi ‘Pakatan Harapan’ mesti ada.

“Dalam 2 hari ini kita akan kaji beberapa cadangan oleh profesional yang cekap dalam lukis logo,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata JPPM tidak meminta PH mengemukakan nama jawatan barisan kepimpinan PH.

“Tak ada bantahan daripada ROS, dan kita harap ROS akan luluslan,” katanya.

Comments are closed.