RSS Subscription

Menteri Salleh Said Keruak berkata banyak akaun media sosial palsu diwujudkan untuk menyebar kandungan palsu dan jelik.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau kehadiran akaun media sosial palsu serta menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya sejak kebelakangan ini didapati terdapat banyak akaun media sosial palsu seperti di Facebook dan Twitter yang diwujudkan untuk menyebar pelbagai kandungan palsu dan jelik yang boleh memberi kesan buruk terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Beliau mengingatkan membuat atau mewujudkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

“Umum sedia maklum bahawa akaun palsu seperti ini digunakan oleh mereka yang berniat jahat dan bertujuan untuk menyebarkan berita palsu, fitnah serta hasutan yang merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara,”katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Salleh berkata isu itu tidak terpencil kepada Malaysia sahaja.

Malah, katanya, Facebook baru-baru ini dilaporkan mengambil tindakan ke atas 30,000 akaun Facebook palsu di Perancis dalam usahanya untuk mengekang gejala berita palsu sewaktu pilihan raya presiden negara itu.

“Selain tindakan penguatkuasaan, kerjasama dengan pihak pemberi perkhidmatan seperti Facebook akan terus dipohon oleh pihak SKMM untuk memadam akaun-akaun palsu ini,”kata Salleh.

Comments are closed.