RSS Subscription

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada parti politik terbesar negara, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-71 pada hari ini.

Sebagai sebuah parti politik yang menjadi teras dan tunjang kepada pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak, pemimpin-pemimpinnya berperanan penting dalam merangka dasar pentadbiran negara bagi pembangunan dan kemajuan negara.

Sebagai pemimpin, ahli-ahli UMNO juga merupakan harapan masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan mereka.

Justeru, pemimpin-pemimpin ini perlulah memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salahguna kuasa.

SPRM berharap pemimpin-pemimpin ini akan mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat dapat menikmati manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salahguna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang akan memimpin negara ini pada masa akan datang.

Selain itu, pemimpin-pemimpin ini juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bukan sahaja sejahtera tetapi juga beretika dan tidak sesekali terlibat dengan gejala rasuah dan salahguna kuasa.

Justeru itu, SPRM berharap agar UMNO akan dapat memberikan sokongan dan menjadi pendukung kuat kepada Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM baru-baru ini.

SPRM turut berharap agar keseluruhan ahli dan pemimpin UMNO akan turut bersama-sama SPRM dalam segala usaha untuk membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salahguna kuasa serta menjadi penggerak utama kepada hasrat SPRM untuk menjadikan “Rasuah Musuh Nombor 1 Negara”.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

11 MEI 2017

 

Comments are closed.