RSS Subscription

PERSATUAN Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) menggesa kajian lengkap terhadap sekolah tahfiz di negara ini berikutan kematian pelajar berusia 11 tahun, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi hari ini.

Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim berkata perlu ada beberapa sistem bagaimana sekolah agama dikawal selia.Katanya, ini termasuk pendaftaran, kurikulum, etika guru dan kecenderungan aliran pengajaran mereka.

“Bagaimana kita tahu pelajar atau guru tidak condong ke arah ekstremisme? Kita mempunyai begitu ramai yang bersimpati dengan kumpulan militan Islamic State (IS) di negara ini. Di mana ia bermula?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azimah juga menyatakan beliau tidak akan terkejut jika penderaan yang berlaku terhadap Thaqif di tangan warden sekolah, turut berlaku di sekolah lain yang tidak berkemampuan.

“Kematian Thaqif boleh dielakkan jika sekolah mempunyai pembiayaan lebih baik dan mampu mengupah warden berpengalaman.

“Warden di situ bertindak sebagai pekerja dan bukan pendidik. Apabila anda berada di sekolah miskin, anda mempunyai sedikit pilihan mencari pekerja.

“Anda tidak boleh memilih warden benar-benar berkelayakan kerana sekolah tidak mempunyai pembiayaan,” katanya.

Laporan menunjukkan warden terbabit dalam kematian Thaqif adalah bekas banduan yang dihukum atas kesalahan pecah rumah.

Azimah berkata individu diupah untuk mengendalikan dan berurusan dengan kanak-kanak perlulah terdiri daripada mereka yang berkelayakan.

Mengenai isu hukuman dera, Azimah menegaskan di sekolah kebangsaan terdapat kaedah dan peraturan apabila ia membabitkan hukuman rotan kepada pelajar.

“Pelajar lelaki boleh dirotan secara tertutup, tetapi terdapat banyak sekatan bagaimana ia boleh dilakukan.”

Walaupun sesetengah ibu bapa tidak menentang hukuman fizikal, Azimah berkata kebanyakan sekolah masa tidak memperoleh hasil dikehendaki dengan menjatuhkan hukuman dera.

“Ada cara lain untuk mendisiplinkan kanak-kanak, seperti penaakulan dengan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kami sentiasa menganjurkan hukuman rota atau mana-mana bentuk hukuman fizikal tidak patut dibiarkan.”

Thaqif didera dan diseksa pembantu yang merotan kakinya dengan getah paip sehingga biru lebam.

Kakinya kemudian terkena jangkitan dan merebak ke buah pinggang serta bahu. Penolong warden sejak itu ditahan polis.

Kaki Thaqif dipotong di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru. Dia kemudiannya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada pukul 8 pagi ini untuk memotong lengan kanan tetapi dibatalkan kerana kondisi jantungnya yang lemah.

Dia meninggal dunia tengah hari ini pada kira-kira pukul 2 petang.

Thaqif mula bersekolah di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kota Tinggi, Johor, pada 27 Januari, dan ibunya, Felda Wani Ahmad, 40, bertindakan memberhentikannya pada 31 Mac selepas dia mengadu dipukul di sekolah. – 26 April, 2017.

 

Comments are closed.