RSS Subscription

Pagi ini, Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan berjaya mengadakan Konvensyen pertamanya di Hotel Maluri di Cheras, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini dihadiri oleh pemimpin dan perwakilan daripada Keadilan, DAP, Amanah dan PPBM. Konvensyen ini meluluskan 6 resolusi seperti berikut:-

Resolusi Konvensyen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan
23 April 2017, Bilik Teratai 4, Hotel Maluri di Taman Maluri Cheras
*********************************************************


PENDAHULUAN

i) Korupsi, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan telah wujud di setiap lapisan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional, termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL.

ii) Pembangunan tanpa kawalan telah sampai ke tahap yang tidak mampu ditahan oleh penduduk Kuala Lumpur. DBKL meluluskan projek tanpa mengikut kegunaan tanah ataupun zoning yang termaktub dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah siap digubal pada Mei 2008.

Menteri Wilayah Persekutuan telah sengaja tidak mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 sehingga ke hari ini, malahan beliau kini cuba untuk mengadakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur yang baru yang akan berakhir pada 2050 di bawah wawasan Transformasi Nasional 50 (TN50). Pertukaran dasar ini sudah tentu akan menjejaskan dasar asal kerajaan yang ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia pada tahun 2020.

iii) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed dan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyertai Pakatan Harapan pada tahun ini. Penyertaan PPBM menguatkan lagi kedudukan Pakatan Harapan untuk menumbangkan kerajaan korup Barisan Nasional.

iv) Pentadbiran Kerajaan yang korup, kemelesetan ekonomi, pengangguran di kalangan orang muda yang semakin meningkat, kadar jenayah yang melambung naik dan pelbagai masalah yang dihadapi negara telah menyuburkan peluang bagi Pakatan Harapan untuk menggantikan tampuk pemerintahan negara dan melenyapkan Barisan Nasional. Oleh itu, adalah penting bagi keempat-empat parti di dalam gabungan Pakatan Harapan (Keadilan, DAP, Amanah dan PPBM) untuk berganding bahu untuk mencapai objektif murni ini demi menyelamatkan Malaysia.

Konvensyen Pakatan Harapan Wilayah Persekutan 2017 Memutuskan:

1. Konvensyen mendapati pembangunan tanpa kawalan dan tidak mengikut Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 telah menyumbang kepada kesesakan trafik dan kekecohan dari segi pembangunan dan menimbulkan bantahan daripada penduduk di Kuala Lumpur.

Konvensyen mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan agar mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan serta-merta, dan DBKL digesa untuk hanya meluluskan pembangunan projek mengikut kegunaan tanah yang ditetapkan dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

2. Konvensyen mendapati banjir kilat kerap berlaku di banyak tempat di Kuala Lumpur kerana keadaan perparitan yang cetek dan lama, ditambah lagi pembangunan yang pesat tanpa kawalan dari segi densiti.

Konvensyen mendesak DBKL untuk menaik-taraf sistem perparitan di tempat-tempat yang kerap berlakunya banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

3. Konvensyen mendapati DBKL telah banyak meluluskan banyak projek pembangunan yang berdensiti tinggi kepada Yayasan Wilayah Persekutuan yang ditadbir oleh pemimpin UMNO/BN dan juga penjawat tinggi DBKL. Keadaan ini merupakan konflik kepentingan di antara pihak yang memberi kelulusan projek dengan pemohon projek.

Konvensyen ingin memberi amaran kepada pemimpin UMNO/BN supaya tidak menggunakan nama Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membangunkan projek yang bertujuan untuk menjaga kepentingan kroni UMNO/BN.

Konvensyen mendesak pemimpin UMNO/BN dan penjawat tinggi DBKL untuk meletak jawatan di Yayasan Wilayah Persekutuan dan menjadikan Yayasan Wilayah Persekutuan sebagai organisasi yang neutral.

4. Konvensyen mendapati Kerajaan Pusat akan membina insinerator pembakaran sampah di Kepong. Tindakan ini telah mencetuskan bantahan daripada ramai penduduk di kawasan tersebut.

Konvensyen mendesak agar Kerajaan Pusat membatalkan projek insinerator yang akan mengancam keselamatan, kesihatan dan keselesaan penduduk di kawasan tersebut.

Konvensyen menyeru Kerajaan Pusat dan DBKL untuk meneruskan usaha 3R (reuse, reduce& recycle) yang boleh mengurangkan pembuangan sampah ke kadar sifar (zero waste), dan dengan langkah ini keperluan untuk membina insinerator tidak wujud lagi.

5. Konvensyen mendapati DBKL telah menswastakan kutipan parkir di tepi jalan kepada Vista Summerose Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan dan malah telah membenarkan syarikat tersebut untuk menaikan kadar parkir. Kenaikan kadar parkir dan juga tindakan mengunci tayar kereta kepada kenderaan yang melebihi masa parkir yang dilakukan oleh pengawal syarikat swasta tersebut telah banyak menyusahkan ramai pemandu dan pemilik kenderaan.

Konvensyen mendesak agar DBKL membatalkan konsesi penswastaan kepada Vista Summerose Sdn Bhd yang banyak menyusahkan rakyat.

6. Konvensyen mendapati terlalu ramai penjaja bukan warganegara diberi lesen untuk berniaga di pasar pagi dan pasar malam.

Konvensyen mendesak agar DBKL mengkaji dan menghentikan pengeluaran lesen perniagaan kepada warga asing, dan memberi keutamaan kepada warga negara.

 

Comments are closed.