RSS Subscription

Semalam Sinar Harian mengumumkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mengadakan program dengan beberapa syarat yang digariskan oleh pihak polis.

PETALING JAYA: Sinar Harian mengumumkan pihaknya terpaksa membatalkan debat Tun Dr Mahathir Mohamad-Datuk Seri Nazri Aziz yang dijadual pada 7 April ini ekoran pembatalan permit kebenaran oleh pihak polis hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan ini dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang tadi.

Semalam beliau mengumumkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu dengan beberapa syarat yang digariskan oleh pihak polis.

Menurutnya, surat itu memaklumkan pembatalan permit yang dikeluarkan kepada pihaknya sebelum ini.

Semalam, Hussamuddin berkata, debat antara bekas perdana menteri dan menteri pelancongan dan kebudayaan akan diteruskan dengan lampu hijau daripada polis.

Hussamuddin yang memuat naik surat kebenaran polis ke Twitter: “Alhamdulillah, surat dari OCPD Shah Alam baru saja diterima. ‘Confirm’ dialog Tun Dr Mahathir vs Datuk Seri Nazri Aziz 7 April 2017.”

Dalam surat itu, ketua polis daerah memberi keizinan dengan syarat memastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan membuat apa-apa penyataan yang akan mengganggu ketenteraman. Karangkraf juga diberitahu agar memastikan debat tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Lewat petang ini, dalam tweetnya, Hussamuddin berkata: “Pelik, dialog Tun M vs DS Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ini terima surat batal permit. Payah!!”

Debat yang pada awalnya dijadualkan untuk diadakan pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar ditukar ke hari dan tempat lain selepas polis Perak menolak permohonan penganjur kerana lewat menghantar permohonan dan tidaksesuaian kawasan.

Debat ini akan diadakan pada 7 April di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Hussamudin dalam laporan Sinar Harian Online juga memohon maaf atas perkembangan terbaharu ini.

“Saya memohon maaf kepada semua pembaca Sinar Harian, Dr Mahathir dan Nazri.

“Alasan yang diberikan adalah bantahan penduduk dari sekitar kawasan tersebut dan setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam dengan ini kelulusan permit himpunan aman dibatalkan,” kata beliau.

Mengulas tentang persiapan yang dibuat, beliau berkata, persiapan telah pun dilakukan.

“Namun, Sinar Harian akur dengan keputusan ini. Sebagai sebuah syarikat dan organisasi yang menghormati keputusan kerajaaan hari ini untuk tidak meneruskan dialog ini.”

“Tetapi, Sinar Harian akan terus mengadakan wacana-wacana seperti yang pernah kita buat sebelum ini. Insya-Allah kita harap Sinar Harian akan menjadi pentas untuk berhujah, bukan bermaki-hamun,” kata beliau.

Tambah beliau, “bila ada cabaran dari kedua-dua pihak (Dr Mahathir dan Nazri Aziz), kami sanggup untuk beri pentas kerana kami hendak bawa mereka ke pentas Sinar Harian yang merupakan pentas ilmiah.”

“Inilah yang cuba kami bawakan. Jadi dengan pembatalan ini kami sudah buat keputusan untuk tidak teruskan dialog (debat) ini,” katanya.

Comments are closed.