RSS Subscription

PERANCANGAN KUALA LUMPUR YANG KUCAR-KACIR

Pada 28 Februari, Menteri WP kata beliau akan menghentikan pelaksanaan KL City Plan 2020 dan beliau tidak akan mewartakan pelan tersebut.

Saya difahamkan bahawa KL City Plan ini digubal oleh para pakar perancangan bandar dan telah mengadakan siri pendengaran di mana 5,052 wakil telah memberi pembentangan dan DBKL mendapat 62,224 maklumbalas daripada orang ramai.

Objektif KL City Plan ialah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai World Class City pada tahun 2020. Tetapi kesalnya, sejak YB Putrajaya memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan, perancangan bandar di Kuala Lumpur telah menjadi kucar-kacir, dan Kuala Lumpur kelihatan akan menjadi bandar yang paling tiada perancangan di dunia (the most unplanned city in the world).

Di kawasan Parlimen Seputeh, banyak pangsapuri yang berpadat tinggi diluluskan di tempat yang telah mengalami kesesakan trafik dan tiada pengangkutan awam, termasuk di Kuchai Entrepreneur’s Park, Taman Desa dan Happy Garden.

Mengikut akhbar Malay Mail, tujuh ekar tanah di Taman Tiara Titiwangsa yang dizonkan sebagai “public utility” ataupun loji pembetungan dijual oleh DBKL kepada Yayasan WP, Yayasan WP kemudian memberi power of attorney kepada pemaju untuk membangunkan tanah untuk loji pembetungan itu. Mengikut KL City Plan, tapak itu sepatutnya mempunyai populasi seramai 32 orang se ekar tetapi pemaju dibenarkan untuk membangunkannya dengan densiti 800 penduduk satu ekar.

Ini bukan satu-satu kes penyelewengan kuasa oleh DBKL dan Menteri di Kuala Lumpur.

Di Taman Danau Desa di kawasan Parlimen Seputeh, satu plot tanah yang dizonkan sebagai “public utiliti” dan “pusat kemasyarakatan”(community centre) di Jalan 3/109F di Taman Danau Desa telah dijual kepada pemaju untuk membina pangsapuri 34 tingkat. Tapak tanah itu sepatutnya dijadikan pusat kemasyarakatan bagi penduduk di Taman Desa tetapi ia dijadikan Pejabat UMNO Seputeh. Sekarang ia akan menjadi tapak untuk membangunkan pangsapuri 34 tingkat. Ramai penduduk di Taman Danau Desa membantah projek ini dan pendengaran ditetapkan pada 27 Mac 2017. Tetapi saya difahamkan, pihak pemaju telahpun mengiklankan projek ini dan malah mula kutip bayaran tempahan. Macam manakah ini boleh berlaku?

Saya telah panggil satu sidang akhbar bersama dengan pemimpin persatuan penduduk di Taman Desa berkenaan dengan penyelewengan kuasa DBKL dan Menteri berdekatan dengan pejabat UMNO Seputeh pada pukul 10 pagi pada hari Sabtu yang lepas. Bila sidang akhbar dilangsungkan, anggota UMNO Seputeh keluar ganggu sidang akhbar saya, kemudian saya terbaca di media kawalan BN bahawa saya mengganggu majlis perkahwinan di bangunan UMNO Seputeh.

Saya buat sidang akhbar di sebelah jalan yang agak jauh daripada pintu masuk ke UMNO Seputeh, tidak mungkin bagi saya mengganggu sesiapa yang ingin masuk ke bangunan UMNO Seputeh, dan tidak mungkin majlis jamuan perkahwinan bermula pada pukul 10 pagi. Ini memang tuduhan palsu oleh pihak UMNO Seputeh untuk mengalihkan fokus penyelewengan mereka yang mengubah kegunaan tanah daripada “community centre” kepada projek pembangunan yang berkepadatan tinggi.

KENYATAAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN BERBAU PERKAUMAN

Selain itu, Menteri WP pula berkata sebab saya membantah projek pembangunan adalah kerana saya bimbang lebih Melayu pindah ke kawasan saya. Kenyataan Menteri WP ini menunjukkan beliau memang seorang “racist” atau pelampau perkauman. Saya langsung tidak bimbang lebih Melayu berpindah ke kawasan Parlimen Seputeh, kerana saya percaya Melayu yang pindah ke kawasan saya akan suka dan sokong pada saya. Saya berharap YB Menteri WP jangan main isu perkauman bila Ahli Parlimen di Kuala Lumpur membuat bantahan terhadap penyalahgunaan kuasa beliau.

Saya pernah cabar YB Menteri WP untuk bertanding di Kuala Lumpur dalam PRU yang akan datang tapi Menteri pula cabar saya bertanding di Putrajaya. Persoalan sekarang ialah, YB Menteri WP menggunakan kuasanya untuk meluluskan banyak projek yang berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur. Soalan saya ialah, kenapakah YB Menteri tidak minta semua pemaju yang ingin bina bangunan dengan densiti tinggi untuk buat projek mereka di Putrajaya? Kenapakah YB Menteri luluskan projek yang berkepadatan tinggi di kawasan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan mengecewakan ramai penduduk di Kuala Lumpur?

Penjualan tanah oleh DBKL

Datuk yang diPertua, mengikut jawapan Parlimen yang saya terima pada 7 Mac 2017 berkenaan dengan prosedur penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kenapakah tender terbuka tidak dilaksanakan.

Dalam jawapannya, Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa “semua permohonan penjualan tanah akan dipertimbangkan di peringkat Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jawatankuasa akan meneliti, membuat analisa dan memperakukan syarikat yang boleh ditawarkan untuk membeli tanah DBKL. Jawatankuasa akan memastikan setiap penjualan akan mendapatkan nilai pulangan yang terbaik untuk DBKL. Selaras dengan keperluan Seksyen 101 (r) Akta Kerajaan Tempatan 1976, perakuan Jawatankuasa akan dikemukakan kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan untuk dimuktamadkan.”

Jawapan ini mengesahkan bahawa semua penjualan tanah kerajaan di Kuala Lumpur dimuktamadkan oleh Menteri WP tanpa tender terbuka. Memandangkan tanah kerajaan di Kuala Lumpur adalah amat terhad, kenapakah DBKL dan Kementerian tidak menjual tanah kerajaan dengan tender terbuka, supaya kerajaan boleh mendapat pulangan yang lebih tinggi? Kenapakah penjualan tanah diputuskan oleh YB Putrajaya sahaja?

Comments are closed.