RSS Subscription

TARIKH : 13 MAC 2017

SOALAN :
YB Puan Teresa Kok Suh Sim [ Seputeh ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan rasional Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang yang mengurangkan bilangan maksimum percubaan untuk Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (Certificate of Legal Practice) daripada 8 kali percubaan kepada 4 kali percubaan bagi graduan kursus undang-undang yang perlu menduduki peperiksaan tersebut. Adakah Kerajaan menetapkan kuota kelulusan bagi peperiksaan tersebut.

JAWAPAN: YB DATO’ SRI AZALINA BINTI OTHMAN SAID,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI.


Tuan Yang di-Pertua,

Lembaga Kelayakan yang bertanggungjawab mengendalikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman tidak pernah mempunyai dasar lapan kali percubaan bagi mana-mana calon yang layak menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman. Calon yang mendaftar dibenarkan menduduki Peperiksaan itu sebanyak empat kali percubaan sahaja melainkan calon itu membayar yuran Pendaftaran dan Yuran Peperiksaan berjumlah RM4,000 seperti mana pendaftaran pada kali pertama sekiranya calon itu ingin mengulangi Peperiksaan itu.

Mengenai isu kuota kelulusan bagi Peperiksaan Sijil Amalan Guaman, Sijil Amalan Guaman yang dianugerahkan oleh Lembaga Kelayakan adalah semata-mata berasaskan kepada merit dan bukannya kuota. Lembaga Kelayakan sentiasa memastikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman dijalankan dengan telus dan penuh kredibiliti. Lembaga Kelayakan tidak pernah mengamalkan sistem ‘kuota’ kelulusan. Segala keputusan berkaitan dengan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman dibuat secara adil, telus dan profesional.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, suatu Jawatankuasa Khas untuk menyediakan rangka tindakan (blueprint) yang holistik bagi profesion undang-undang akan ditubuhkan dalam masa yang terdekat. Jawatankuasa Khas ini antara lain akan mengkaji cadangan-cadangan pindaan yang komprehensif kepada Akta 166 termasuk juga isu berkaitan dengan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.

Sekian, terima kasih.

 

Comments are closed.