RSS Subscription


Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
==========================
Saya merasa kesal atas tuduhan palsu yang dibuat oleh YB Kuala Selangor dan juga sosial media BN termasuk laman web BNBBC berkenaan dengan SMUE di bawah YAWAS. Saya juga rasa hairan Jamal Yunus pemimpin Baju Merah yang merosakkan keharmonian masyarakat sekarang telah menjadi Guru dan konsultan kepada YB Kuala Selangor dan Biro Komunikasi Strategik Barisan Nasional.

Guru YB Kuala Selangor ini menuduh saya mengeluarkan wang SMUE hampir RM2 juta dengan menggunakan kad ATM daripada 2016 sehingga Februari 2017. Mengikut Jamal, tuntutan dana yang perlu diberi pada setiap waris adalah sebanyak RM2,500, tapi kebanyakan daripada mereka hanya baru terima RM1000 sahaja daripada saya.

Saya memang tidak ingin bangkitkan isu berkaitan dengan kebajikan yang diberi oleh kerajaan Selangor di Dewan yang mulia ini, tetapi memandangkan YB Kuala Selangor bangkitkan isu ini dan heret pula nama saya, jadi saya terpaksa memberi keterangan berkenaan dengan operasi SMUE di dewan ini.

1) SMUE ialah wang ehsan kepada keluarga si-mati yang dilahirkan di Selangor (si-mati yang memegang kad pengenalan yang mempunyai angka “10” di tengah-tengahnya). Setiap waris atau keluarga si-mati akan diberi RM2,500 di bawah skim ini. Keluarga si-mati yang memohon SMUE akan diberi wang tunai RM1,000 oleh pejabat wakil rakyat yang diberi tauliah untuk melaksanakan pemberian wang terlebih dahulu. Dua bulan kemudian, pegawai pejabat Daerah akan memberi tambahan RM1,500 lagi kepada keluarga si-mati.

2) Sebab Ahli Parlimen Pembangkang di Wilayah Persekutuan diberi kuasa untuk menguruskan SMUE adalah kerana ramai warga Selangor, khususnya mereka yang lahir sebelum tahun 1974 sebelum Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan bermastautin di Kuala Lumpur, dan adalah lebih mudah bagi waris atau keluarga si-mati untuk membuat permohonan di pusat khidmat Ahli Parlimen di Kuala Lumpur daripada pergi ke pejabat DUN di Selangor.

3) PROSEDUR PEMBERIAN WANG EHSAN SMUE: Bagi pejabat wakil rakyat yang menguruskan SMUE, wakil rakyat diberi satu kad ATM dan satu akaun bank khas di bawah nama wakil rakyat tersebut oleh Pejabat Daerah. Akaun bank wakil rakyat tersebut diperuntukkan RM10,000 sebagai permulaan. Staf pejabat wakil rakyat menggunakan kad ATM untuk keluarkan wang tunai RM1,000 daripada bank untuk diberi kepada setiap keluarga si-mati yang memohon SMUE. Apabila RM10,000 dalam akaun bank habis dikeluarkan kepada keluarga si-mati, staf pejabat wakil rakyat pun akan hantar semua dokumen pemohon dan si-mati kepada Pejabat Daerah untuk rekod, kemudian pejabat Daerah akan menambah lagi RM10,000 ke dalam akaun bank khas untuk SMUE di bawah nama wakil rakyat tersebut sehingga ia habis diberikan kepada para waris si-mati yang membuat permohonan.

4) Semua rekod pemberian wang ehsan kepada waris si-mati yang merupakan warga Selangor telah disimpan baik oleh pejabat Daerah. Saya tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan dari segi pemberian wang ehsan Kerajaan Selangor. Jangan cuba melemparkan tohmahan kepada saya dan rakan-rakan lain saya, kerana membuat fitnah adalah dosa yang besar yang boleh masuk neraka.

5) Semalam, YB Kuala selangor BN bertanya tiga (3) soalan:
i) Adakah benar RM10juta dana YAWAS telah dimasukkan ke dlm akaun 9 org ahli Parlimen?
ii) Dari mana RM10juta tersebut diperolehi?
iii) Jika benar, mana wang RM10juta yg telah dimasukkan ke dalam akaun 9 org ahli parlimen tersebut?

Jawapan kepada Soalan Kuala Selangor ialah:

YAWAS merupakan sebuah agensi yg bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas mempromosi, mendaftar dan memberikan penerangan berkaitan program-program
Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

YAWAS tidak pernah sama sekali diberikan tanggungjawab untuk menyalurkan sebarang bentuk dana kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di peringkat Parlimen.

Semua dana berkaitan program SMUE disalurkan melalui Perbendaharaan Negeri Selangor kepada Pejabat Daerah. Pejabat Daerah dan Pejabat Pusat Khidmat wakil rakyat yang kemudiannya akan menyalurkan dana tersebut secara terus kepada pemohon SMUE yang layak termasuk rakyat Selangor yang lahir di WPKL sebelum 1 Februari 1974 dan menetap di WPKL.

Semua dana bagi SMUE dan lain disalurkan daripada Perbendaharaan Kerajaan Selangor kepada Pejabat Daerah, dan pejabat Daerah yang menyalurkan dana kepada pemohon SMUE.

6) Skim kebajikan kepada warga Selangor telah dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan Selangor. Saya rasa hairan UMNO dan Guru bagi UMNO Selangor sekarang baru sedar tentang skim ini. Apakah ini menunjukkan UMNO dan BN telah bankrap idea dan isu politik terhadap kami?

7) Untuk maklumat YB Kuala Selangor dan Dewan yang mulia ini, Kerajaan Selangor telah menyalurkan sejumlah RM188,936,500,000 kepada 77,080 warga Selangor di bawah SMUE sejak SMUE dilancarkan daripada tahun 2008 kepada 2016. Terima kasih kepada UMNO dan BN kerana mempromosikan SMUE.

Comments are closed.