RSS Subscription

Seorang pemimpin kanan Umno membandingkan nama DAP (Parti Tindakan Demokratik) dengan nama rasmi Korea Utara – Republik Demokratik Rakyat Korea Utara.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi berkata walaupun mendakwa memperjuangkan demokrasi tulen, tetapi sudah begitu lama kepimpinan tertingginya dikuasai oleh “dinasti keluarga”.

“Apakah DAP sebuah parti yang demokratik?” soalnya.

“Ada yang menjawab secara sinis, jika kita percaya Korea Utara adalah sebuah negara yang demokratik kerana ia dikenali sebagai Democratic People’s Republic of North Korea (DPRK) maka bolehlah dipercayai DAP juga adalah sebuah parti yang demokratik.”

Walaupun mengaku mengamalkan demokrasi, Korea Utara, sering berdepan dakwaan mengamalkan pemerintahan kuku besi dan menekan hak asasi manusia rakyat.

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara muncul selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Jong-un di lapangan terbang di Sepang baru-baru ini.

Pyongyang setakat ini mengecam siasatan polis terhadap suspek-suspek terdiri daripada rakyatnya, manakala duta Malaysia ke Korea Utara telah dipanggil pulang.

Sementara itu, dalam DAP pula, Puad berkata, “dinasti Lim” pula terus mencengkam demokrasi parti itu, dengan membangkitkan kontroversi dalam pemilihan parti itu tiga tahun lalu.

Beliau merujuk kepada ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng, yang juga setiausaha agung parti itu.

“Sebab itu Lim Kit Siang tidak layak membawa slogan “Ubah”, kalau dinasti Lim terus menguasai parti dan sistem pemilihan parti masih menggunakan sistem tidak telus.

“Apatah lagi, anggota CEC parti dipilih oleh sekelompok kecil perwakilan dan bukannya oleh ahli akar umbi yang lebih ramai,” katanya.

Puad menjangkakan kerjasama DAP dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan memusnahkan dinasti itu.
“Sebahagian Kepimpinan DAP menganggap Tun M (Mahathir) hanya memperalatkan DAP dan Lim Kit Siang untuk memenuhi cita cita peribadinya menjadikan Mukriz sebagai perdana menteri,” katanya.

“Justeru, amalan autokratik Guan Eng di Pulau Pinang dan imej Lim Kit Siang yang tidak konsisten dalam banyak isu terutamanya dalam isu forex dan BMF akan menyebabkan dinasti Lim menunggu masa untuk tumbang.”

Comments are closed.