RSS Subscription

mahathir-pas-1

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PAS berhadapan kekeliruan dalam memperjuangkan wadah politiknya.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, ia berikutan keengganan PAS bekerjasama dengan gabungan pembangkang lain seperti DAP dan Amanah.

“PAS sedikit keliru.Pada masa ini mereka sebahagian daripada kerajaan Selangor yang ada DAP. Pada masa sama, mereka tak mahu bersama kita (Pakatan Harapan),” katanya semasa sidang media sempena Konvensyen Amanah di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ruang perlu diberi kepada PAS untuk menyatakan pendirian sebenar sama ada mahu bersama gabungan pembangkang yang disertai DAP dan Amanah atau bersama Barisan Nasional (BN).

“Saya rasa mereka (PAS) kena tetapkan keputusan. Kita tunggu mereka dan kemudian putuskan sama ada mereka mahu parti mereka saja, bersama Umno atau kita pembangkang yang termasuk DAP dan Amanah,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama parti pembangkang dengan PAS memandangkan parti itu dilihat lebih mesra dengan parti pemerintah.

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada dalam satu pentas sempena himpunan Solidariti Ummah bersama Rohingnya pada Ahad lepas.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, mana-mana parti yang cuba menjadikan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya umum (PRU), dianggap menyokong pentadbiran BN.

“Sesiapa yang berusaha supaya pertandingan 3 penjuru dalam PRU14, mereka sebenarnya menyokong BN,”katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata keengganan berterusan ditunjukkan PAS gagal membantu memperkuatkan lagi gagasan pembangkang dalam usaha menolak kepimpinan Najib.

“Apabila diucapkan pendirian sedemikian, ia tak membantu rakyat, usaha dan komitmen kita untuk selamatkan masa depan masa. Jadi saya ingatkan sekali lagi, supaya cari keutamaan. Ini masa depan kita. Kita perlu bersatu untuk mencari persamaan demi masa depan,” ujarnya.

Sebelum ini PAS dilaporkan tidak pernah meminta PPBM menunggu parti itu menyatakan kesediaan bagi kerjasama sesama pembangkang dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu buat masa ini sedang giat memperkasakan jentera bagi menghadapi PRU14 berbanding kerjasama berkenaan.

Comments are closed.