RSS Subscription

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

Y.B Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan:-
(a) kos yang telah dibayar untuk Penambahbaikan Taman Bukit Kiara di Kuala Lumpur dan perutusan penambahbaikan yang telah siap;
dan
(b) sebab Bukit Kiara diambil-alih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari DBKL.

JAWAPAN:-

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembangunan Taman Persekutuan Bukit Kiara dilaksanakan secara berperingkat sesuai dengan keadaan kawasan dan konsep pembangunan Arboretum dan Rekreasi untuk taman berkenaan. Sehingga ini sebanyak RM24 juta ringgit telah dibelanjakan untuk pembangunan Taman tersebut oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara; antara skop kerja yang terlibat adalah menaik tariff zon rekreasi keluarga, membina pagar sempadan, menanam spesis tumbuhan berkayu untuk menggantikan pokok-pokok getah tua, kerja-kerja penambahbaikan cerun dan kawalan hakisan serta kerja menaiktaraf kemudahan utility dan infrastruktur taman bagi Zon Rekreasi Keluarga dan Zon Arboretum.

Sementara itu, kerja-kerja penyelenggaran dilakukan setiap hari bagi memastikan akses untuk kemudahan rekreasi sentiasa tersedia untuk pengguna taman. Sebahagian besar projek penambahbaikan yang dirancang sehingga 2016 telah siap manakala sebahagian lagi telah mencapai 90% siap. KPKT akan meneruskan kerja-kerja pembangunan berperingkat sepertimana yng dirancang untuk Taman ini sehingga siap sepenuhnya dalam tempoh 5 tahun.

(b) KPKT telah mengambilalih pengurusan tapak Bukit Kiara daripada DBKL pada Ogos 2010 berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 27 Jun 2007 supaya dibina sebuah Taman Awam Berskala Besar (TABB) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur melalui pendekatan Taman Persekutuan; yang berfungsi sebagai taman rekreasi untuk orang ramai beriadah, bersukan dan menikmati keindahan alam dengan keluasan yang sesuai.

 

Comments are closed.