RSS Subscription

 

14915533_1352973671380417_6983023674371771772_n

TARIKH : 1/11/2016

Puan Teresa Kok Suh Sim [ Seputeh ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan bilangan tadika yang masih belum mempunyai guru tadika yang mempunyai diploma ataupun persijilan yang dikehendaki oleh Kementerian. Apakah yang akan dilakukan oleh Kementerian terhadap tadika yang tidak mempunyai guru yang terlatih, khususnya di kawasan luar bandar.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua
Berdasarkan rekod Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK) sehingga 15 Oktober 2016 sejumlah 29,093 orang guru sedang berkhidmat di 7,304 tadika swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Daripada jumlah tersebut hanya 3,003 buah tadika swasta yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru berkelulusan diploma dan setaraf. Manakala baki sebanyak 4,031 buah tadika swasta hanya mempunyai guru dengan kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi memastikan pematuhan kepada dasar kelayakan akademik guru prasekolah di Malaysia seperti yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 1 April 2016, KPM akan mengambil langkah-langkah berikut:

a) Pelaksanaan pelonggaran syarat kemasukan untuk mengikuti diploma melalui Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

b) Pelaksanaan diploma pendidikan awal kanak-kanak melalui institusi pendidikan tinggi awam atau swasta serta institut pendidikan guru (IPG) secara mod dalam cuti atau hujung minggu.
Selain itu, KPM juga telah memberikan elaun pembelajaran sebanyak RM1,000 setahun untuk tempoh tiga tahun kepada guru tadika swasta yang mengikuti pendidikan diploma pendidikan awal kanak-kanak di institusi pendidikan tinggi swasta yang diiktiraf oleh MQA pada tahun 2013 hingga 2016.

 

Comments are closed.