RSS Subscription
Saya tidak hairan melihat PAS dan Umno berganding bahu, mendesak saya supaya bercuti sementara siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah BN ke atas saya berkenaan pembelian kediaman berusia 30 tahun saya dan penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis. Desakan ini adalah jelas bermotifkan politik. Kedua-dua BN dan PAS tidak membuat desakan yang sama kepada Perdana Menteri untuk bercuti, ketika Perdana Menteri didapati memiliki derma tunai USD700 juta atau Rm2.6 bilion di dalam akaun peribadinya.
Saya sentiasa menjalankan pentadbiran yang bersih di Pulau Pinang mengikut prinsip urustadbir CAT (Cekap, Akauntabel, Telus). Salah satu langkah integriti utama iala melaksanakan tender terbuka, suatu langkah yang mengundang pujian terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Transparency International. Kerajaan negeri Pulau Pinang sewajarnya bangga dengan urustadbir yang bersih daripada rasuah.

Penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis dilakukan melalui tender terbuka kepada orang awam dan kemudian diberikan kepada syarikat yang sanggup membayar harga paling tinggi. Bagaimana mungkin wujud amalan rasuah jika syarikat tersebut memenangi tender itu dengan merit mereka sendiri dan membayar harga paling tinggi? Selanjutnya, pemilik yang menjualkan kepada saya rumah tersebut tidak pernah menjadi pemegang saham atau pengarah syarikat terbabit. Atas sebab ini, laporan rasuah terhadap saya kepada SPRM oleh BN dan penyokongnya adalah palsu, dan merupakan konspirasi utnuk membunuh karakter serta menghancurkaan saya secara politik.
Pun begitu, saya serahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan dan menggesa mereka suapaya ia dilakukan secepat mungkin supaya nama saya dan nama kerajaan negeri dapat dibersihkan. Saya telah menyatakan kesediaan penuh kepada SPRM dan berharap siasatan akan berjalan secara adil, bebas dan profesional. Saya tidak faham kenapa saya perlu bercuti atas dakwaan palsu ini, malah saya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan ke atas siasatan SPRM dan juga Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan penuh. Hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa ke atas kedua-dua SPRM dan Peguam Negara.
Mantan menteri besar Kelantan, Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah disiasat SPRM atas dakwaan rasuah berkait perbelanjaan mengerjakan haji ke Mekah pada tahun 2009, yang arwah kemudiannya batalkan. Tiada siapa pun meminta Datuk Seri Nik Aziz bercuti kerana arwah tidak mempunyai kawalan dan kuasa ke atas SPRM, dan dakwaan tersebut juga tidak berasas.
Tambahan pula, sekiranya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu bercuti setiap kali laporan rasuah dikemukakan kepada SPRM, laporan-laporan yang mengarut dan tidak berasas juga boleh dijadikan senjata politik, dan semua orang akan terpaksa bercuti.
Namun saya bersedia untuk membincangkan latar dakwaan rasuah terhadap saya ini bersama pihak-pihak yang bebas dan neutral, supaya mereka mendapat gambaran sebenar konspirasi dan pembohongan oleh BN ini. Saya menyeru para penyokong supaya bersabar berhadapan serangan-serangan oleh TV3 terhadap saya dengan laporan selama setengah jam setiap malam sambil mengesampingkan skandal rasuah RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.
Tidak hairan melihat media Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang dikawal BN memburuk-burukkan saya setiap hari. Beberapa akhbar berbahasa Cina juga sedang bertindak seiring dengan media BN. Saya percaya bahawa orang ramai tidak begitu mudah percaya dan boleh membezakan kebenaran dan pembohongan dan siapa yang tidak memperjuangkan integriti serta memerangi rasuah.
LIM GUAN ENG

Comments are closed.