RSS Subscription

Kerajaan Harus Menggalakkan Restoran dan Hotel dan Syarikat Pengeluaran Makanan Untuk Menderma Makanan Kepada Gelandangan

——————————————————————————————–

Datuk yang diPertua, ekonomi Malaysia kini semakin merosot dan kos hidup semakin tinggi. Keadaan ini adalah amat membebankan golongan bawahan. Saya difahamkan terdapat ramai orang miskin malah tidak mampu membeli makanan yang cukup, termasuk pelajar yang di universiti dan kolej yang belajar dengan pinjaman PTPTN ataupun biasiswa.

Justeru itu, saya mengalu-alukan program MyBeras yang memberikan 20kg beras setiap bulan bagi keluarga yang miskin sehingga Disember 2016. Sehubungan dengan itu, saya juga menyambut baik usaha-sama di antara DBKL dan syarikat berkaitan dengan kerajaan untuk menubuhkan rumah perlindungan khas bagi gelandangan di Kuala Lumpur.

Mengikut penulis E. Papargyropoulo dalam artikel yang bertajuk “CIWM Artikel on Food Waste Management in Malaysia”, beliau berkata anggaran Malaysia akan menghasil 33,000 tan sisa pepejal sehari pada tahun 2020, 45% daripada 33,000 tan sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari ialah sisa makanan. Ini bermaksud Semenanjung Malaysia akan mengisi hampir 16 Menara Berkembar Petronas dengan sisa makanan yang dijanakan.

Saya difahamkan bahawa banyak syarikat pengeluaran makanan dan pasaraya dan hotel membuang makanan mereka setiap hari kerana mereka tidak ingin menanggung risiko di bawah Seksyen 13A dalam Akta Makanan yang berbunyi: “mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi keseluruhannya atau sebahagianny apa-apa bahan binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar sama ada dikilangkan atau tidak, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya.” Saya ingin mencadangkan kerajaan meminda Akta Makanan 1983 ataupun menggubal undang-undang baru supaya syarikat-syarikat yang mengeluarkan dan memperoses makanan dapat menderma makanan kepada golongan miskin.

Pada Hari Isnin yang lepas, Kerajaan Itali membentangkan satu rang undang-undang yang menghendaki pasaraya/supermarket untuk menderma makanan yang lebih untuk kebajikan. Itali merupakan negara yang kedua di Eropah yang meluluskan undang-undang sebegini selepas Negara Peranchis di Februari yang melarang pasaraya membuang makanan yang tidak dijual dan mengenakan denda pada pasaraya yang membuang makanan yang tidak dijual.

Memandangkan bilangan golongan yang papa-miskin ini semakin bertambah, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mencontohi Itali dan Peranchis untuk menghendaki syarikat pengeluaran makanan, pasaraya, hotel, restauran untuk menderma makanan yang tidak terjual kepada orang miskin.

Comments are closed.