RSS Subscription

TARIKH: 3 NOVEMBER 2015 (SELASA)
SOALAN: 48

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan sebab Kerajaan menyekat orang ramai baca laporan di laman web Sarawak Report tetapi tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyunting dan penulis laman web tersebut sekiranya beliau meyiarkan tulisan yang tidak benar.

Sila senaraikan laman web yang telah diharamkan oleh Kerajaan setakat ini.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa komited dalam menangani penyalahgunaan media sosial.Pemantauan berkala sentiasa dilakukan dan sekiranya terdapat sebarang kandungan yang bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.

Sebarang kesalahan yang dilakukan menggunakan platform Internet termasuklah penyebaran fitnah di media sosial adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada termasuklah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kuasa menjalankan siasatan dan kuasa mendakwa di Mahkamah adalah terletak kepada dua (2) organisasi yang berbeza. Ini penting agar setelah siasatan dijalankan, kertas-kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan dan arahan lanjut. Tertakluk kepada sifat kesalahan dan berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh hasil siasatan, Jabatan Peguam Negara akan memutuskan kes-kes yang dikemukakan akan didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang bersesuaian.

Dalam hal ini, Kementerian melalui SKMM sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan teknikal kepada PDRM dan agensi penguatkuasa lain seperti KPDNKK, JAKIM dan sebagainya dalam proses siasatan mereka apabila diminta.

Bagi tempoh Januari hingga September 2015, sebanyak 10 kes telah didakwa di Mahkamah atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk kesalahan di platform media sosial. Selain itu, sebanyak 1,263 laman sesawang telah disekat akses atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Malaysia sedia ada.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments are closed.