RSS Subscription

Hari ini saya hadir “sidang tergempar” Ahli Parlimen progresif yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Wan Azizah. Mesyuarat ini dipanggil berikutan dengan isu 1MDB yang membabitkan Perdana Menteri yang telah menjadi berita antarabangsa.

Pada asalnya mesyuarat ini sepatutnya diadakan di dalam bilik taklimat Parlimen, tetapi tempahan yang dibuat oleh YB Johari Abdul kemudian dibatalkan oleh pihak Parlimen. Jadi kami pun terpaksa mengadakan “sidang tergempar” khas ini di dataran Parlimen di hadapan bangunan Parlimen.

Speaker/pengerusi mesyuarat khas ini adalah YB Johari Abdul. Ahli Parlimen yang dijemput berucap termasuk Wan Azizah, Rafizi Ramli, Tony Pua, Lim Kit Siang, Takiyuddin, Dr Dzulkifli, dan tokoh NGO termasuk Ambiga, Maria Chin, Cynthia Gabriel, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan lain.

Ramai pemimpin yang berucap ini menyeru Najib mengambil cuti semasa siasatan diadakan. Ambiga malah menyeru parti politik di kedua-dua pihak membentukkan “Kerajaan Perpaduan” dengan syarat pilihanraya akan diadakan dalam tempoh satu tahun yang akan datang.

Saya tidak tahu kenapakah pihak pentadbiran Parlimen membatalkan tempahan bilik mesyuarat kami. Mereka sepatutnya tahu kami tidak akan tunduk kepada tindakan pembatalan mesyuarat tersebut. Sebenarnya, mesyuarat Ahli Parlimen khas di bawah bumbung di dataran Parlimen ini lebih memburukkan imej kerajaan dan Parlimen.

Saya gembira melihat ramai Ahli Parlimen kita di luar Lembah Klang hadir mesyuarat khas ini. Pertemuan Ahli Parlimen dan tokoh NGO hari ini diharap dapat menyumbang kepada peralihan (Transition) dalam politik Malaysia. Saya percaya pertemuan ini akan merupakan peristiwa yang dicatat dalam sejarah Malaysia.

 

Comments are closed.