RSS Subscription

AES Masih Dilaksanakan??  Ini adalah jawapan Parlimen yang saya terima pada hari ini:

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PERTANYAAN :           BAGI JAWAB LISAN

DARIPADA      :           PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH]

TARIKH            :           1 JULAI 2013 (ISNIN)

SOALAN          :           61

 

PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI PENGANKUTAN menyatakan apakah status pemantauan kesalahan trafik AES. Adakah pemandu yang mendapat saman AES perlu menjelaskan kompaun mereka.

 JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Pelaksanaan Automated Enforcement System (AES) masih diteruskan di 14 lokasi sedia ada iaitu:

  1. KM 375.9, Lebuhraya PLUS – Slim River (Arah ke Utara);
  2. KM 7, Jalan Maharajalela, Teluk Intan (Arah ke Bagan Datoh);
  3. KM 91, Jalan Ipoh – Butterworth (Arah ke selatan);
  4. KM 26, Jalan Ipoh – Kuala Kangsar (Persimpangan Kg. Kerdah);
  5. KM 85.5 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur (Arah ke selatan);
  6. KM 204.6, Lebuhraya PLUS – Taiping (Arah ke utara);
  7. Jalan Pasir Putih, Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King);
  8. Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu);
  9. Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian, Sentul);
  10. KM 6.6 SKVE (Puchong ke Kajang);
  11. KM 301.6 Lebuhraya PLUS – Kajang (Arah ke utara);
  12. Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC);
  13. Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju ke Kajang); dan
  14. KM D7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (Arah ke selatan).

Pemandu-pemandu yang mendapat saman AES masih perlu menjelaskan kompaun walaupun pendakwaan bagi kes AES ditangguhkan kerana notis yang dikeluarkan kepada orang yang melakukan kesalahan trafik tersebut dibuat mengikut peruntukan undang-undang

========================================

Saya mengeluarkan kenyataan akhbar seperti berikut selepas terima jawapan Parlimen tersebut:

Kenyataan akhbar Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Pada 1 Julai 2013 di Bangunan Parlimen

Kementerian Pengangkutan Digesa Menghentikan Perlaksanaan AES dan Mengkaji Semula Penguatkuasaan AES

Saya merasa hairan apabila menerima jawapan Parlimen daripada Menteri Pengankutan hari ini bahawa Automated Enforcement System (AES) masih dilaksanakan di 14 lokasi yang sediada.

Selepas Peguam Negara mengarahkan penangguhan pendakwaan terhadap pesalah AES, ramai orang menganggap perlaksanaan AES telah ditangguhkan, dan ramai orang memang tidak membayar kompaun AES.

Memandangkan perlaksanaan AES telah mendatangkan reaksi yang kuat daripada para pemandu kereta dan ia telah mencetuskan begitu banyak masalah, saya minta Menteri baru/sementara di Kementerian Pengangkutan, YB Dato Seri Hishamuddin Hussein Onn menghentikan perlaksanaan dan mengkaji semula perlaksanaan AES di seluruh Malaysia demi menunjukkan jiwa slogan “Rakyat Didahulukan”.

 

Teresa Kok

Comments are closed.