RSS Subscription

Rocketkini.Com
KUALA LUMPUR | Jan 7, 2013

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar diminta bersikap profesional, bebas dan berkecuali serta tidak mencampuri urusan mana-mana parti politik, termasuk DAP.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata Wan Ahmad tidak sepatutnya mengulas mengenai kesilapan teknikal yang tidak disengajakan berlaku pada pemilihan ahli Jawatan Eksekutif Pusat (CEC) Kongres Kebangsaan DAP pertengahan bulan lalu.

Katanya, tindakan Timbalan Pengerusi SPR mengulas kesilapan DAP itu dianggap senada dengan pemimpin politik UMNO-BN dan seolah-olah dia pemimpin parti politik berkenaan.

“Sebagai Timbalan Pengerusi SPR dia sepatutnya tidak mencampuri urusan politik mana-mana parti dan jika dia (Wan Ahmad) berminat mencampuri urusan parti politik, lebih baik dia terbabit secara langsung dalam mana-mana politik atau minta dicalonkan bertanding pada PRU-13 nanti,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Teresa juga meminta Wan Ahmad mencermin diri sendiri sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku pada pemilihan DAP baru-baru ini kerana SPR juga banyak melakukan kesalahan.

“Wan Ahmad mungkin belum lupa insiden yang memalukan mengenai pembetulan semula keputusan pengundian SPR sendiri,” katanya.

Menurutnya, kesilapan yang paling jelas ialah pindaan membabitkan keputusan pilihan raya di kawasan Parlimen Pasir Puteh, Kelantan yang diberitahu tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum pada 21 Mac 2004.

“Rakyat dimaklumkan bahawa pegawai pengurus pilihan raya telah tersilap mengumumkan kemenangan calon PAS.

“Kemudian SPR membuat kejutan apabila calon PAS, Kalthom Othman yang sebelumnya diumum sebagai pemenang dengan majoriti 3,810 undi bertukar kepada calon UMNO Che Min Che Ahmad yang diisytihar pemenang kerusi Parlimen Pasir Puteh,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Teresa turut mengimbau kembali bagaimana pegawai SPR membuat kesilapan yang sama pada keputusan pemilihan kawasan Parlimen Seputeh pada PRU tahun yang sama.

“Saya sebagai calon DAP kawasan itu diisytihar pemenang dengan 28,921 undi menewaskan Yen Chin Foo (MCA) yang hanya memperoleh 17,418, bagaimanapun SPR kemudiannya memperbetulkan keputusan yang dikeluarkan dengan jumlah lain di mana saya memperoleh 33,197 undi manakala Chin Yen Foo mendapat 20,302 undi,” kata Teresa.

Katanya, kedua-dua kes pada PRU 2004 itu menunjukkan SPR memperbetulkan semula keputusan selepas keputusan diumumkan apabila mendapati kesilapan ketika pengisytiharan awal.

“Beliau perlu mencermin dirinya dulu dan memastikan SPR akan menjalankan pilihan raya yang bersih dan adil menjelang PRU-13 nanti,” tambah Teresa.- Roketkini.com

Comments are closed.