RSS Subscription

Kenyataan akhbar oleh Teresa Kok, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor & Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan di Shah Alam pada 12hb Disember 2012.

 

Negeri Selangor masih mengekalkan momentum pelaburan yang cemerlang dengan mendahului Negeri lain dari segi jumlah nilai pelaburan yang diterima. Bagi tempoh Januari hingga September 2012, Selangor masih mengekalkan kedudukannya iaitu No.1 dengan mendahului negeri lain dari segi jumlah nilai pelaburan yang diterima.

Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri lain dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 7,684,641,384 daripada 186 projek perkilangan yang diluluskan iaitu  sebanyak 24% daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan di Malaysia. Ini diikuti dengan Sabah di tempat kedua dengan RM4,840,874,055 dan Sarawak di tempat ketiga dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4,684,564,801.

Dari jumlah ini pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM5,470,214,286 (71%) adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM2,214,427,098 (29%) daripada pelaburan asing.

Ini menunjukkan Selangor masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan utama. Pelabur tempatan merupakan penyumbang utama dan ini secara langsung menunjukkan para pelabur tempatan menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sila lihat Jadual 1(a) yang dilampirkan di sini.

 

Projek Perkilangan Yang Diluluskan.

Berdasarkan statistik terkini MIDA (Malaysia Investment Development Authority) mengenai bilangan projek yang diluluskan antara negeri, Selangor mencatatkan jumlah kelulusan projek sebanyak 186 projek atau 32% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Sebanyak 112 projek merupakan projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM4,743,142,839 manakala sebanyak 74 projek merupakan projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM2,941,498,545.

Selangor diikuti oleh Johor di tempat kedua dengan 128 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 81 projek.

Jumlah Potensi Peluang Pekerjaan Diwujudkan

Secara keseluruhannya, sebanyak 16,076 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan iaitu 29% daripada jumlah potensi peluang perkejaan yang diwujudkan, di mana sebanyak 9,648 adalah daripada projek baru, dan sebanyak 6,428 adalah daripada projek pembesaran/ pelbagaian.

Selangor mencatatkan potensi peluang pekerjaan kedua tertinggi selepas Johor yang mencatatkan sebanyak 17,726 (31%) dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 7,388 potensi peluang perkejaan.

Sila lihatJadual 1(a) yang dilampirkan di sini.

 

Projek Perkilangan Yang Diluluskan Mengikut Penyertaan Pelabur Asing

Berkenaan penglibatan pelabur asing di Negeri Selangor, Singapura merupakan pelabur utama dengan nilai pelaburan sebanyak RM595,274,417, diikuti Switzerland sebanyak RM267,520,000 dan Jerman sebanyak RM227,951,423.

Sila lihat Jadual 1(c) yang dilampirkan di sini.

 

Kelulusan Mengikut Industri

Industri Pembuatan Barangan Peralatan Kenderaan  mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM3,289,186,994 dengan 32 projek. Ini diikuti Industri Pembuatan Makanan sebanyak RM1,002,519,643 dengan 14 projek. Manakala Industri Pembuatan Barangan Logam Asas sebanyak RM729,898,165 dengan 12 projek.

Sila lihat Jadul 1(d) yang dilampirkan di sini.

 

Kelulusan Projek Mengikut Daerah

Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi, iaitu sebanyak RM2,308,120,628 dengan 71 projek, diikuti Daerah Hulu Selangor sebanyak RM2,206,051,048 dengan 5 projek dan Daerah Klang mencatatkan nilai ketiga tertinggi iaitu sebanyak RM1,412,455,242 dengan 40 projek.

Teresa Kok

 

One Response to “Selangor mengekal kedudukan No. 1 dalam jumlah pelaburan sektor industri pengeluaran”

  1. on 15 Dec 2012 at 09: 26.16 Mohd Nor Talib

    Syukur alhamdulillah, saya bangga dengan pencapai yang begitu cemerlang PR memerintah Selangor, walaupun saya bukan rakyat negeri Selangor. saya menyeru kepada rakyat negeri Selangor, kerajaan PR ini hendaklah dipertahankan demi untuk kesejahteraan anda semua.Undilah PR (DAP, PAS & PKR) MNT, Senawang.