RSS Subscription

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT

NO. SOALAN : 32

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : YB TERESA KOK SUH SIM (SEPUTEH)

TARIKH : 18 OGOS 2008 (ISNIN)

SOALAN :

YB. Puan Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) minta PERDANA MENTERI menyatakan sebab musabab Petronas Gas gagal membekalkan gas perindustrian yang cukup kepada syarikat perkilangan pelabur asing di Semenanjung Malaysia. Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan untuk mengatasi masalah yang semakin kritikal ini dan bilakah masalah ini dijangka akan diatasi.

JAWAPAN :

Tuan Yang Di-Pertua.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, mengikut rancangan jangka panjang, kapasiti loji-loji pemprosesan gas di Semenanjung Malaysia yang pada masa ini berupaya untuk memproses dan menyalur kira-kira 2,000 juta kaki padu gas sehari (mmscfd), sewajarnya mampu untuk menampung peningkatan permintaan dalam jangka panjang sepertimana dalam kontrak yang ditandatangani antara PETRONAS dan pengguna. Namun demikian, permintaan terhadap bekalan gas asli terutamanya daripada sektor industri telah meningkat secara mendadak sejak Oktober 2002 berikutan keputusan Kerajaan menetapkan harga gas yang rendah kepada sektor tersebut. Berikutan peningkatan dalam permintaan, keseluruhan kapasiti pembekalan gas asli di Semenanjung Malaysia pada masa ini telahpun dikontrakkan sepenuhnya (fully contracted out) kepada para pengguna di sektor elektrik dan sektor bukan elektrik termasuk industry.

Kerajaan memberi perhatian yang serius berhubung kedudukan bekalan gas di Semenanjung Malaysia. Antara langkah awal yang diambil oleh Kerajaan untuk menangani kekurangan bekalan ini adalah dengan menyemak semula struktur harga gas. Dalam hubungan ini, Kerajaan pada 4 Jun 2008 dan 4 Julai 2008 telah memutuskan untuk menstruktur semula harga gas kepada sektor elektrik dan sektor industri secara berperingkat bagi meminimumkan impak dan membolehkan pengguna membuat penyesuaian.

Tuan Yang DiPertua.

Walaupun langkah tersebut mungkin tidak dapat mengatasi sepenuhnya kekurangan bekalan gas, ia dijangka mendorong para pengguna untuk menguna sumber tenaga khususnya gas secara lebih cekap dan penjimatan gas dari langkah tersebu akan dapat digunakan untuk memenuhi sebahagian permintaan khususnya daripada sektor industri. Beberapa langkah jangka sederhana juga sedang diteliti untuk menangani masalah kekurangan bekalan termasuklah usaha menggalak pihak industri melaksanakan audit tenaga (energy audit) dalam sistem pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber bahan tersebut serta penggunaan peralatan yang lebih cekap tenaga (demand-side management).

Untuk jangka yang lebih panjang pula, usaha-usaha juga sedang diambil untuk menggalakkan pihak industry mengoptimumkan kemudahan co-generation. Di sampaing itu, penambahbaikan dalam sektor penjanaan elektrik melalui penggunaan peralatan yang cekap tenaga juga sedang dikaji bagi menjimatkan penggunaan gas supaya sebahagiannya dapat disalurkan kepada sektor industri. Sementara itu, pihak PETRONAS juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan gas tambahan dari luar Negara bagi menampung permintaan tempatan yang semakin meningkat.

Sukacita juga saya menarik perhatian Ahli Yang Berhormat, bahawa selain daripada gas, pihak industri mempunyai beberapa pilihan bahan api lain seperti ‘medium fuel oil’ (MFO), diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk digunakan dalam proses pengeluaran mereka. Bahan api alternative ini tidak menghadapi masalah bekalan dan boleh diperolehi dengan mudah.

One Response to “Soalan Parlimen-Langkah Kerajaan Utk Mengatasi Masalah Kekurangan Gas Perindustrian”

  1. on 20 Aug 2008 at 12: 30.37 forestec

    Should give the explaination of Natural Gas for Industry use increase 71% from 1st August. This had effected the manufacturing industrial in Malaysia seriously.